KPRJ SALUR RM1.125 JUTA WAKALAH ZAKAT BAGI MEMPERKASA KEBAJIKAN ASNAF JOHOR

KPRJ memperuntukkan RM1.125 juta menerusi wakalah zakat perniagaan bagi tahun 2026 untuk membantu 500 penerima melalui bantuan kewangan dan barangan keperluan asas serta membina kediaman baharu untuk tiga keluarga fakir, dengan kerjasama MAINJ. | Foto KPRJ
#Kulai – Seramai 500 penerima bakal menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan asas, manakala tiga keluarga fakir pula akan mendapat manfaat menerusi pembinaan kediaman baharu di bawah peruntukan wakalah zakat perniagaan berjumlah RM1.125 juta oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ) bagi tahun 2026.
Inisiatif tersebut yang julung kali dilaksanakan oleh KPRJ menerusi wakalah zakat dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Selain bantuan kepada golongan asnaf, inisiatif ini juga turut merangkumi bantuan kepada institusi dan komuniti yang layak di mana daerah Kulai dipilih sebagai lokasi pertama siri penyerahan bantuan berkenaan.
Bagi komponen bantuan kewangan dan barangan keperluan asas, KPRJ memperuntukkan sebanyak RM375,000 untuk diagihkan kepada 500 penerima yang layak di seluruh Johor. Daripada jumlah tersebut, seramai 150 penerima telah dikenalpasti di daerah Kulai.
Selain itu, KPRJ turut memperuntukkan sebanyak RM375,000 bagi pembinaan tiga unit rumah menerusi inisiatif Rumah Kasih KPRJ sebagai usaha menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa kepada golongan fakir. Daripada jumlah tersebut, dua unit rumah akan dibina di daerah Kulai, manakala seunit lagi di daerah Muar.
Bagi komponen bantuan fisabilillah pula, KPRJ turut memperuntukkan sebanyak RM375,000 dengan memberi tumpuan kepada penyediaan kelengkapan, kemudahan serta penambahbaikan infrastruktur institusi dan komuniti yang layak.
Bagi daerah Kulai termasuk Masjid Al-Muhajirin, Kampung Felda Bukit Batu; Masjid Ledang Kulai Oil Palm dan Sekolah Agama (SA) Bandar Putra, Kulai adalah penerima bantuan zakat bagi kategori ini.
Sementara itu, siri penyerahan wakalah zakat KPRJ akan diteruskan di daerah Johor Bahru dan diikuti daerah Pontian dalam masa terdekat bagi memastikan bantuan berkenaan dapat disalurkan secara berperingkat dan teratur kepada golongan asnaf.
#JohorSafeZone
#KPRJ
#MAINJ
#WakalahZakat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


