HPUSIM MAMPU BERI IMPAK POSITIF


YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama YBhg. Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan HPUSIM di Sedili. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#KotaTinggi – Projek Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) di Sedili bakal memberi impak dalam aspek pembangunan infrastruktur, sosioekonomi dan memacu sektor pelancongan kesihatan di Kota Tinggi.

 

Dibina secara berfasa bermula tahun ini sehingga 2033, pembinaan kompleks melibatkan kos RM938 juta dalam Belanjawan 2023 itu menjadi cerminan kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan.

 

Hospital pengajar pertama di Johor itu turut diyakini akan menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada anak tempatan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi terutama dalam bidang penjagaan kesihatan profesional.

 

HPUSIM berkapasiti 300 katil apabila siap kelak bakal menjadi hospital pengajar termaju dan patuh syariah dengan kelengkapan teknologi tinggi hijau selain dilengkapi Pusat Rawatan Tertiari, Pusat Rehabilitasi dan Sains Sukan, Pusat Rawatan Hiperbaric Oksigen.

 

Kerajaan Negeri komited dalam memudahcara proses pembinaan kompleks berkenaan menerusi gerak kerja sepasukan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi supaya dapat menyediakan perkhidmatan kesihatan optimum buat penduduk Kota Tinggi.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersama YBhg. Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan HPUSIM di Sedili, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor