PERPUSTAKAAN KINI LEBIH SANTAI, DINAMIK


YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyaksikan Majlis menandatangani MoU antara YM Puan Ungku Hajah Noorakmal Ungku Sulaiman, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, Rektor UiTM Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Suasana persekitaran perpustakaan bakal menjadi lebih kondusif, santai dan dinamik selepas ini sekali gus akan mewujudkan budaya membaca yang lebih menarik untuk Bangsa Johor.

 

Itu antara transformasi yang akan dilaksanakan apabila Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memperkasa budaya ilmu dan membangunkan ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif di Negeri Johor.

 

Lebih memberangsangkan, UiTM Cawangan Johor juga menjadi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pertama menjalin kerjasama ini, yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara perpustakaan awam, perpustakaan akademik serta institusi universiti.

 

Melalui inisiatif ini, ruang perkongsian ilmu akan diperluaskan bagi membolehkan ahli akademik dan masyarakat umum dapat berinteraksi dalam suasana yang lebih terbuka dan dinamik.

 

Antara program yang bakal dilaksanakan selepas pemeteraian MoU ini ialah Program Perkongsian Buku, Sesi Diskusi Buku, Wacana Awam serta Pendigitalan Koleksi Johor yang dirangka dengan pendekatan lebih santai dan ‘relatable’, selaras dengan usaha untuk menjadikan budaya membaca lebih menarik kepada masyarakat.

 

Bagi tujuan itu, Kerajaan Johor sebelum ini menerusi pembentangan Belanjawan Johor 2025 turut memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menaik taraf perpustakaan awam di Pontian dan Johor Bahru sebagai langkah dalam memperkayakan landskap pembudayaan ilmu serta menggalakkan amalan membaca dalam kalangan rakyat Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir bagi menyaksikan Majlis menandatangani MoU berkenaan yang disempurnakan oleh YM Puan Ungku Hajah Noorakmal Ungku Sulaiman, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) dan YBrs. Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, Rektor UiTM Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor