RM300 JUTA PERKASA INFRASTRUKTUR DIGITAL JOHOR

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat menyaksikan majlis pertukaran MoU yang berlangsung di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). | Foto MDJ Wira Anggara

 

#JohorBahru – Kerajaan Johor dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh infrastruktur digital negeri ini dengan melibatkan pelaburan mencecah RM300 juta bagi tempoh dua tahun akan datang.



Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperluas capaian liputan internet, memperkasa keselamatan siber dan meningkatkan tahap literasi digital rakyat Johor menerusi perluasan liputan 5G, pembangunan infrastruktur digital dan pelaksanaan program ‘Johor Safe City’ melalui pemasangan Wi-Fi awam dan sistem kamera litar tertutup (CCTV).



Potensi Johor yang kini diiktiraf sebagai hab data yang sedang berkembang pesat di Asia Tenggara dengan kapasiti pusat data yang dijangka mencecah 2.7 gigawatt (GW) menjelang tahun 2027 akan membolehkan projek peluasan liputan 5G ini ke pusat transit awam, kawasan perindustrian, kawasan pusat data serta lokasi pelancongan.



Selain itu, kerjasama ini juga turut menyokong pembangunan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pelaburan digital dan perdagangan serantau menerusi penyediaan infrastruktur internet yang stabil dan menyeluruh, sekali gus memperkukuh ekosistem teknologi tinggi negara menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.



Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat menyaksikan majlis pertukaran MoU yang berlangsung di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini.



Turut hadir ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Hj Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan YBhg Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi Eksekutif SKMM.



#WTN
#JohorSafeCity
#JohorSmartCity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor