MUSIM YANG GEMILANG, PELBAGAI REKOD YANG DIJULANG

Digelar sebagai peneraju bola sepak negara, JDT berjaya menamatkan saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2024/2025 tanpa kalah untuk tahun ketiga berturut-turut dan lima tahun secara keseluruhan (2016, 2020, 2022, 2023, 2024-2025), sekali gus bergelar juara sebanyak 11 kali berturut-turut. | Foto MDJ Aisya Mazalan

 

 

Oleh – Farhan Khair

Pegawai Penerangan (Editor) Media Digital Johor

 

 

“Kami benar-benar berada di kemuncak bola sepak Malaysia tetapi kisah kami tidak berakhir di sini. Kami tetap dahaga, komited dan bersemangat untuk mengekalkan JDT di puncak dan mencari jalan untuk memperkukuhkan lagi diri kami kerana itulah yang dilakukan oleh sang juara untuk kekal unggul.” – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor (November 2022).

 

Betapa bertuahnya Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dikurniakan seorang pemimpin berkebolehan luar biasa yang fokus pada visi dan misi, dan sentiasa menanamkan keinginan tinggi untuk mencapai prestasi maksimum. Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemilik JDT menjadi individu penting dalam revolusi empayar Harimau Selatan sejak awal penubuhan, dan lihatlah segala pencapaian dan kejayaan hingga ke hari ini.

 

Imbas kembali selepas Liga Malaysia musim 2024/2025 membuka tirai pada Mei 2024, JDT menjulang Piala Sumbangsih buat kali ketujuh berturut-turut serta sembilan kali secara keseluruhan. Beraksi cemerlang dalam saingan Piala FA Malaysia edisi ke-34, skuad Harimau Selatan berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA menerusi kemenangan besar 6-1 ke atas Selangor dalam aksi perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ogos 2024. Kejayaan tersebut merupakan trofi kedua untuk musim ini dan ke-28 secara keseluruhan, serta mencatat sejarah sebagai pasukan pertama yang merangkul kejuaraan hatrik Piala FA dan mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir Piala FA sejak diperkenalkan pada tahun 1990.

 

Tanpa perlu menoleh ke belakang, Harimau Selatan tetap gah dan terus berjuang. Fokus JDT terarah kepada Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2024-2025. Skuad Harimau Selatan berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan Zon Timur di tempat ketiga dan layak ke peringkat 16 terbaik Asia, berjaya menyumbang 22.355 dalam ranking MA Malaysia yang merupakan pungutan mata tertinggi untuk satu musim. Tidak cukup dengan itu, Stadium Sultan Ibrahim telah merekodkan kehadiran melebihi 30,000 penyokong pada lima perlawanan yang berlangsung sepanjang kempen ACLE musim ini. Perlawanan menentang Pohang Steelers pada aksi kelapan liga (34,590) dan pusingan kedua Peringkat 16 Terbaik menentang Buriram United (34,644) merupakan dua kehadiran tertinggi di gelanggang sendiri pernah dicatatkan JDT sejak tahun 2013.

 

Digelar sebagai peneraju bola sepak negara, JDT berjaya menamatkan saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2024/2025 tanpa kalah untuk tahun ketiga berturut-turut dan lima tahun secara keseluruhan (2016, 2020, 2022, 2023, 2024-2025), sekali gus bergelar juara sebanyak 11 kali berturut-turut. Skuad Harimau Selatan berjaya merekodkan 23 kemenangan dan satu seri, 90 jumlah gol dan lapan bolos, jumlah 70 mata secara keseluruhan menyaksikan kelab ini mementingkan ketelitian dalam segala serbi. JDT turut mencatatkan rekod kemenangan terbesar kelab dalam saingan MSL apabila berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim FC 9-0 pada perlawanan ke-24 bagi musim ini.

 

Dominasi total JDT dimuktamadkan setelah menjulang Piala Malaysia 2024/2025 buat kali ketiga berturut-turut dan menjadikan jumlah trofi ke-30 secara keseluruhan sejak penubuhan kelab pada tahun 2013. Lebih membanggakan, kesemua kejuaraan pada musim ini melengkapkan gelaran ‘Unbeaten Triple Quadruple’ bagi sebuah legasi unggul JDT.

 

Luaskan Kuasamu Johor!

#OneMoreAlways
#Chapter2
#CHAMP11ONS
#TheTMJeffect
#WhatCanYouDo
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor