JOHOR PERKASA, TINGKAT KOMPETENSI PEGAWAI TADBIR

YBhg. Tuan Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor antara Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) yang mengikuti kursus di University Ivy League. | Foto Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas perkenan dan sokongan penuh terhadap usaha memperkasa Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) dengan mengikuti kursus di University Ivy League.

 

Di bawah tajaan Tabung Pendidikan Permodalan Darul Ta’zim (PDT), tiga pegawai kanan telah dihantar ke Harvard Kennedy School sebagai permulaan yang mencerminkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri Johor untuk terus membina barisan pemimpin berwibawa dan berwawasan.

 

Pegawai kanan berkenaan adalah YBhg. Tuan Natazha Hariss, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor; YBhg. Tuan Mohd Riduan Md. Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. dan YBhg. Dr. Joharudin Samion, Ketua Setiausaha Sulit Kepada YAB Menteri Besar Johor.

 

Kesemua mereka mengikuti kursus pendek bertajuk ‘Negotiation Strategies: Building Agreement Across Boundaries’ bertujuan melatih pemimpin membina kesepakatan dan persefahaman merentas sempadan, mencapai persetujuan serta membuat keputusan terbaik dalam situasi melibatkan pelbagai pihak dan kepentingan.

 

Penyertaan dalam kursus berprestij itu merupakan langkah strategik dalam mendukung agenda Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menyaksikan negeri ini memerlukan kecekapan pegawai kanan kerajaan dalam mengurus rundingan dan membina kepercayaan pelbagai pihak.

 

Kerajaan Negeri yakin pegawai kanan terlibat akan dapat menggandakan keupayaan negeri dalam menarik pelaburan, memperkasa daya saing dan melonjakkan pembangunan sosioekonomi Johor menerusi ilmu dan kemahiran baharu serta rangkaian global diperoleh dari Harvard.

 

Selain itu, Johor juga sedang memperkukuh asas kepimpinan bagi menerajui era baharu pertumbuhan, inovasi dan kemakmuran serantau menerusi JS-SEZ sekali gus mempercepat transformasi sebagai negeri maju dengan membina keupayaan pegawai sektor awam bertaraf dunia.

 

#JCS
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor