LPPKN PERLUAS PELAKSANAAN KEMPEN WCaRe

YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor hadir menyempurnakan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Johor 2025 di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini, Johor Bahru. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi usaha memperluaskan pelaksanaan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Johor.
Bagi tujuan itu, semua wanita khususnya golongan ibu perlu memanfaatkan inisiatif yang dilaksanakan oleh LPPKN ini bagi memastikan tindakan pencegahan penyakit kanser ini dapat dibuat daripada peringkat awal lagi demi kesejahteraan mereka pada masa akan datang.
Selain itu, sempena sambutan Hari Ibu yang diadakan di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Mutiara Rini hari ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan insentif pemberian pek minyak masak berkapasiti 2 kilogram kepada setiap wanita yang melakukan saringan pemeriksaan kesihatan kanser sebagai satu bentuk galakan bagi menarik lebih ramai golongan itu untuk memanfaatkan inisiatif yang disediakan oleh pihak kerajaan ini.
Terdahulu, YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor hadir menyempurnakan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Johor 2025 di Hutan Bandar MBIP Mutiara Rini, Johor Bahru hari ini.
Hadir sama ialah YM Ungku Suzana Ungku Mohammad, Setiausaha MBIP merangkap wakil rasmi Datuk Bandar MBIP; YB Datuk Pandak Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Iskandar; YBrs Rosmonaliza Abdul Ghani, wakil rasmi Ketua Pengarah LPPKN dan YBrs Dr Salmi Jalina Jalil, Pengarah LPPKN Negeri Johor.
Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik turut dilaksanakan sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Johor antaranya senamrobik, ‘Steps of Love’, Colour Quest and Kids Challenge, Tea Corner: Bicara Keluarga serta Solidariti Palestin khusus bagi menunjukkan sokongan terhadap kaum ibu yang berada di negara bergolak itu.
Sambutan kali ini yang bertemakan ‘Sentuhan Kasih Ibu’ ini juga diadakan bagi mengajak semua lapisan masyarakat di negeri ini untuk bersama-sama memperingati jasa, pengorbanan dan kasih sayang tidak ternilai dari seorang ibu yang juga menjadi antara faktor penting bukan sahaja dalam memperkasakan institusi kekeluargaan tetapi juga berperanan dalam memajukan bangsa dan negara.
#LPPKN
#HariIbu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor