GALAK PEMAIN INDUSTRI BERALIH KEPADA TENAGA SOLAR

Program Kesedaran Kelestarian Dan Penglibatan Industri (Tenaga Solar) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#BatuPahat – Kerajaan Johor terus komited menjayakan agenda pembangunan mampan menerusi inisiatif ‘Johor Green Deal’ yang digerakkan oleh Pusat Kelestarian Johor (JSC) dalam usaha menggalakkan lebih ramai pemain industri beralih kepada penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif.
Melalui kerjasama strategik antara JSC, agensi kerajaan dan sektor swasta, pelbagai inisiatif serta insentif ditawarkan bagi menyokong usaha transformasi tenaga boleh diperbaharui berkenaan khususnya dalam industri perkilangan dan komersial agar ia selari dengan hasrat Johor untuk menjadi sebuah negeri rendah karbon menjelang tahun 2030.
Antara insentif yang ditawarkan termasuk Skim Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) Solar Leasing oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Menerusi skim ini, syarikat penyedia perkhidmatan pajakan solar layak untuk menikmati pengecualian cukai atas pendapatan yang dijana, sekali gus menggalakkan penggunaan tenaga solar yang secara lebih meluas dan mampu milik.
Selain itu, komitmen Kerajaan Negeri juga turut diterjemahkan menerusi tiga pendekatan utama iaitu campuran tenaga yang lebih bersih, pemeliharaan alam sekitar serta tekad dan inisiatif kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tradisional seperti penggunaan bahan api fosil dan pada masa sama dapat melindungi ekosistem alam semula jadi.
Pihak industri juga turut diseru supaya mengambil peluang dalam mengamalkan perindustrian lestari yang bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan karbon, malah membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi hijau serta penciptaan pekerjaan berasaskan teknologi bersih.
Terdahulu, telah berlangsung Program Kesedaran Kelestarian Dan Penglibatan Industri (Tenaga Solar) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Batu Pahat yang telah mengetengahkan kepentingan peralihan tenaga boleh diperbaharui serta memperkenalkan insentif dan peluang pelaburan dalam teknologi solar kepada pemain industri di Batu Pahat.
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor