JOHOR JUARA BOLA SEPAK MAKSAK KEBANGSAAN 2025

Pasukan bola sepak MAKSAK Johor dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak MAKSAK Peringkat Kebangsaan 2025. | Foto Majlis Daerah Yong Peng

 

#IskandarPuteri – Pasukan bola sepak Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Negeri Johor mengharumkan nama negeri apabila dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak MAKSAK Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada 12 hingga 14 Jun lalu di Kota Bharu, Kelantan.

 

Kejohanan kali ini menyaksikan pasukan Johor berjaya menampilkan persembahan yang konsisten apabila mudah mengenepikan cabaran Sabah, Terengganu dan Kedah, sekali gus selesa mengungguli Kumpulan B.

 

Pada aksi suku akhir, pasukan Johor sekali lagi menunjukkan persembahan cemerlang apabila menundukkan wakil utara iaitu Perlis sebelum mengenepikan pasukan Wilayah Persekutuan di separuh akhir.

 

Impian Johor untuk muncul juara dalam edisi kali ini akhirnya tiba apabila berjaya memadam cabaran Selangor selepas memenangi penentuan sepakan penalti 5-4 pada aksi final.

 

Lebih manis, kem bola sepak MAKSAK Johor juga turut menyapu bersih anugerah utama termasuk Anugerah Pasukan Fairplay Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Penjaring Terbanyak Kejohanan, sekali gus menonjolkan dominasi Johor bukan sahaja dari segi taktikal, malah dalam aspek teknikal dan etika permainan.

 

Selain itu, kejayaan ini juga turut dianggap simbol era baharu bola sepak MAKSAK Johor selepas YBhg Ahmad Nazri Rebu, Yang Dipertua Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dilantik sebagai Pengerusi Sukan Bola Sepak MAKSAK Johor pada 14 Januari lalu.

 

Meskipun baharu menggalas tanggungjawab tersebut, Ahmad Nazri tidak mengambil masa lama untuk menyuntik nilai kerja berpasukan, disiplin serta semangat kesukanan ke dalam pasukan yang terbukti membantu membawa pasukan kepada kejayaan yang membanggakan ini.

 

Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan bola sepak MAKSAK Johor atas kejayaan yang membanggakan ini dan menjadi pemacu semangat untuk terus mengangkat martabat sukan Negeri Johor di peringkat kebangsaan dan menyemarakkan perpaduan serta semangat kesukanan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam di negeri ini kelak.

 

#MAKSAK2025
#MAKSAKJohor
#BolaSepakMAKSAK2025
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor