KERAJAAN JOHOR PERUNTUK RM4.6 JUTA PERKASA KEBAJIKAN WARGA FELDA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir Sambutan Hari Peneroka FELDA MADANI Negeri Johor di Perkarangan Utama FELDA Tunggal, Kota Tinggi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#KotaTinggi – Kerajaan Johor menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan lebih 200,000 warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negeri ini menerusi inisiatif berjumlah hampir RM4.6 juta demi kesejahteraan peneroka dan generasi kedua di tanah rancangan.

 

Peruntukan signifikan tersebut meliputi pelbagai inisiatif termasuk bantuan bakul makanan bernilai RM100 yang dijangka memanfaatkan kira-kira 27,642 peneroka melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.7 juta.

 

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM1.855 juta untuk beberapa inisiatif termasuk bantuan geran bernilai RM5,000 kepada 71 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA serta JKKR FELDA Wilayah Segamat dan Johor Bahru.

 

Sebanyak 71 Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) pula menerima sumbangan geran pengurusan sebanyak RM5,000 di samping bantuan sama kepada 56 masjid dan 23 surau di samping inisiatif membantu 71 Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA Wilayah Segamat dan Johor Bahru serta seluruh negeri.

 

Kuota khas haji kepada 10 peneroka selain pinjaman pendidikan tanpa faedah kepada 50 anak peneroka turut disediakan untuk meringankan beban kewangan keluarga serta membuka ruang lebih luas kepada generasi muda melakar kejayaan seterusnya kembali menyumbang kepada masyarakat dan negeri.

 

Selain itu, Kerajaan Johor terus komited menyelesaikan sepenuhnya isu geran hak milik tanah peneroka dalam tempoh dua bulan dengan pencapaian setakat ini telah mencapai 99 peratus, manakala baki 22 peratus masalah perumahan generasi kedua FELDA dijangka dapat diselesaikan pada tahun ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Sri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang Dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Pengerang hadir Sambutan Hari Peneroka FELDA MADANI Negeri Johor di Perkarangan Utama FELDA Tunggal, Kota Tinggi.

 

Turut hadir, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor; YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta YBhg. Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA.

 

#SegalanyaFELDA
#GenerasiFELDAJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor