JOHOR HARGAI SUMBANGAN PEMAIN INDUSTRI PERTANIAN

Pencapaian itu bagi YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor merupakan bukti usaha kolektif semua pihak berkaitan yang telah membuahkan hasil serta mengangkat martabat sektor pertanian negeri ke tahap lebih tinggi.

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri amat menghargai komitmen pemain industri pertanian sebagai tunjang utama kepada kejayaan sektor berkenaan menyumbang 17.3 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan pertumbuhan 4.2 peratus pada tahun lalu.

 

Kecekalan dan dedikasi dicurahkan telah mengukuhkan lagi kedudukan Johor selaku peneraju sektor pertanian negara selain menjadi pemangkin penting ekonomi negeri sehingga berjaya merekodkan kadar pertumbuhan tertinggi di Malaysia pada tahun 2024 iaitu 6.4 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM158 bilion.

 

Pencapaian itu bagi YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor merupakan bukti usaha kolektif semua pihak berkaitan yang telah membuahkan hasil serta mengangkat martabat sektor pertanian negeri ke tahap lebih tinggi.

 

Lebih daripada sekadar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pencapaian tersebut turut menterjemah usaha untuk memperkukuh keterjaminan makanan, mencipta peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama pemain industri di luar bandar.

 

Kerajaan Negeri terus komited memperkasa sektor pertanian secara inklusif melalui usaha menarik penglibatan lebih ramai anak muda supaya sektor tersebut diterajui oleh tenaga baharu lebih dinamik, inovatif dan berdaya saing seterusnya menjadi pemacu utama ekonomi negeri masa hadapan.

 

Untuk rekod, kedudukan Johor sebagai peneraju dan penyumbang terbesar kepada sektor pertanian negara telah dibuktikan dengan kejayaan merekodkan nilai jualan mencecah RM27.2 bilion berdasarkan dapatan interim Bancian Pertanian 2024 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor