RM216 JUTA DIRANCANG UNTUK AGENDA PERUMAHAN DALAM BELANJAWAN JOHOR 2026

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mempengerusikan sesi libat urus dan penyampaian amanat kepada kepimpinan PKPJ serta sesi libat urus bersama PDRC di Kota Iskandar, baru-baru ini. | Foto Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) sentiasa komited dalam memperkasakan agenda perumahan negeri bagi merealisasikan impian rakyat memiliki rumah sendiri.
Komitmen PKPJ sebagai tulang belakang kepada pelaksanaan pelbagai dasar perumahan Kerajaan Negeri Johor itu merangkumi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Kasih Johor (RKJ), Rumah Prihatin Johor (RPJ), dan Residensi Bangsa Johor (RsBJ).
Bagi tujuan tersebut, peruntukan lebih RM216 juta dirancang untuk sektor perumahan dalam Belanjawan Johor 2026 termasuk sasaran menyiapkan sekurang-kurangnya 30,000 unit rumah merangkumi pelbagai segmen dan latar belakang rakyat menjelang akhir tahun depan.
Usaha memperluas akses rakyat terhadap rumah mampu milik melalui Property Roadshow PKPJ, inisiatif penting untuk lebih dekat kepada komuniti dan memupuk keyakinan rakyat terhadap usaha Kerajaan Negeri juga akan dipergiatkan pada tahun depan.
Selain itu, sebanyak 14,000 unit lagi rumah mampu milik akan disiapkan dan diserahkan melibatkan kesemua 26 kawasan Parlimen di seluruh negeri pada tahun 2025, tambahan 16,000 unit yang sudah disampaikan kepada rakyat setakat ini.
Kesemua rumah yang ditawarkan pada harga antara RM50,000 hingga RM300,000 termasuk kategori RM100,000 dan RM150,000 menjadi bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap rakyat memiliki kediaman selesa, berkualiti serta berpatutan.
Sehingga kini, sebanyak 30 sesi libat urus Jawatankuasa Penilaian, Perancangan dan Reka Bentuk (PDRC) berjaya dilaksanakan merentasi 10 daerah melibatkan kerjasama antara 119 pemaju, 150 projek perumahan, serta 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Johor.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mempengerusikan sesi libat urus dan penyampaian amanat kepada kepimpinan PKPJ serta sesi libat urus bersama PDRC di Kota Iskandar, baru-baru ini.
#RMMJ
#PKPJ
#PDRC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor