JPEX 2025 SASAR LEBIH RM1 BILION NILAI JUALAN

Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025 yang sedang berlangsung di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Johor melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) yakin sasaran nilai keseluruhan transaksi jualan melebihi RM1 bilion dapat direalisasikan menjelang hari terakhir Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2025, esok.
Keyakinan itu berdasarkan sambutan luar biasa terhadap penganjuran JPEX 2025 kali ini apabila berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM24.7 juta, selain turut menarik kehadiran lebih 35,500 pengunjung setakat semalam yang dijangka terus meningkat menjelang hari penutup kelak.
Selain itu, agenda pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2030 tetap menjadi keutamaan dan menjadi antara tarikan utama JPEX 2025. Justeru, PKPJ juga telah merangka satu strategi pelaksanaan menyeluruh bagi tujuan ini yang akan turut digerakkan bersama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri melibatkan Pentadbiran Daerah, Pentadbiran Tanah Johor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Sementara itu, bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam sektor perumahan, PKPJ telah melancarkan Buku Perumahan Johor yang menghimpunkan pelbagai maklumat, pencapaian, inisiatif, tawaran dan dasar perumahan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan yang bakal memberi manfaat kepada Bangsa Johor.
Terdahulu, YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Johor hadir ke Majlis Realisasi Kerjasama Strategik Perumahan Johor sempena JPEX 2025 di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall.
Hadir sama ialah YB Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan); YB Datin’ Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif PKPJ; YBhg. Tuan Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru dan YB Dato’ Avinderjit Singh, Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
#Perumahan
#RumahMampuMilik
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor