TAMAN BOTANI DIRAJA JOHOR DIBUKA SEMULA 31 OGOS

Taman Botani DiRaja Johor bakal dibuka semula kepada umum bermula 31 Ogos ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Taman Botani DiRaja Johor terletak di Istana Besar Johor bakal dibuka semula kepada umum bermula 31 Ogos, dengan membawa wajah baharu lebih indah dan tersusun yang mencerminkan kekayaan warisan alam semula jadi negeri ini.

 

Pembukaan semula taman berkenaan setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan merupakan titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mahu menjadikan lokasi itu sebagai salah satu mercu pelancongan utama di Negeri Johor.

 

Taman Botani DiRaja Johor dibuka kepada orang awam setiap Rabu hingga Ahad dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan ditutup pada Isnin dan Selasa bagi penyelenggaraan, dengan kadar tiket masuk ditetapkan RM2 untuk warganegara, RM30 bagi bukan warganegara, manakala percuma kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah serta pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).

 

Mula dibangunkan pada tahun 1864, taman berkenaan kini kembali dengan pelbagai elemen baharu yang memperkukuh peranannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan negeri meliputi kawasan seluas lebih 126 ekar dengan 12 taman khas yang menempatkan lebih 583 spesies flora serta hampir 145,000 batang pokok pelbagai jenis.

 

Usaha menaik taraf Taman Botani DiRaja Johor turut melibatkan kerjasama erat antara enam pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

 

Selain mengangkat nilai sejarah dan memori silam yang tersemat dalam lokasi berprestij tersebut, pembukaan semula taman itu diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan hijau dan menyemarakkan agenda Tahun Melawat Johor 2026.

 

#TamanBotaniDiRajaJohor
#VisitJohor2026
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor