IRDA, MIZUHO BANK PERKUKUH PELABURAN JS-SEZ

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II merangkap Pemangku Menteri Ekonomi hadir menyaksikan Majlis Pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara YB Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman, Ketua Eksekutif IRDA dengan Toshiharu Fujiwara, Ketua Pegawai Eksekutif Mizuho Bank (Malaysia) Berhad. | Foto FB Iskandar Malaysia 

 

#IskandarPuteri – Pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus mencatat pencapaian signifikan apabila Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Mizuho Bank (Malaysia) Berhad menandatangani Surat Hasrat (LOI) bagi membentuk kerjasama strategik dalam memperkukuh sektor pelaburan di rantau ini.

 

Menerusi kerjasama ini, Mizuho Bank menyediakan dana hampir USD600 juta (RM2.522 bilion) dalam bentuk pembiayaan kewangan kepada pelanggan yang melabur di kawasan inisiatif JS-SEZ menerusi projek berimpak tinggi dalam 11 sektor yang dipromosikan di zon berkenaan seperti sektor pembuatan makanan dan minuman, pusat data, penjanaan tenaga serta pembuatan berasaskan kimia.

 

Langkah strategik ini dijangka bakal mempercepatkan kemasukan pelaburan, memenuhi keperluan pelabur serta membuka lebih banyak peluang dua hala yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi mampan di Johor, sekali gus mengukuhkan kedudukan JS-SEZ sebagai katalis pertumbuhan ekonomi inklusif.

 

Usaha ini bukan sahaja membuka saluran pelaburan baharu khususnya dari Jepun, malah ia juga memperkukuh peranan JS-SEZ dalam memacu pembangunan mampan dan inklusif yang selari dengan dasar kerajaan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau serta mewujudkan peluang bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.

 

Selain itu, IRDA dan Mizuho Bank akan memberi tumpuan kepada sokongan pembiayaan, promosi, penganjuran acara serta perkongsian maklumat pasaran bagi menarik lebih ramai pelabur untuk bekerjasama dalam membangunkan projek-projek berimpak tinggi yang mampu melonjakkan ekonomi Johor serta JS-SEZ secara holistik.

 

Institusi perbankan berkenaan jelas memainkan peranan penting dalam meningkatkan keterlihatan, memperkukuh keyakinan pelabur dan menyediakan sokongan kewangan yang diperlukan, sekali gus memberi isyarat jelas kepada dunia bahawa Johor, Malaysia dan Singapura benar-benar serius dalam menjayakan agenda JS-SEZ.

 

Terdahulu, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II merangkap Pemangku Menteri Ekonomi hadir menyaksikan Majlis Pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara YB Dato’ Mohd Noorazam Dato’ Osman, Ketua Eksekutif IRDA dengan Toshiharu Fujiwara, Ketua Pegawai Eksekutif Mizuho Bank (Malaysia) Berhad di Putrajaya, semalam.

 

#JohorSafeZone
#JSSEZ
#WTN
#JohorHomeOfChampions
#IRDA
#MizuhoBank
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor