AKSI MASTERCLASS SYIHAN BUATKAN PERJALANAN JAUH KAMI BERBALOI – KPBJLK

Bagi Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Lembah Klang (KPBJLK), setiap aksi ‘home’ tetap dianggap ‘away’, namun semangat mereka tidak luntur untuk menyaksikan Harimau Selatan beraksi. | Foto Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Lembah Klang (KPBJLK)

 

#IskandarPuteri – Perjalanan panjang dengan menempuh ratusan kilometer ke Stadium Sultan Ibrahim dari Lembah Klang sudah menjadi asam garam bagi penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di sini yang setia dibelakang pasukan.

 

Setiap perlawanan ‘home’ adalah ‘away’ bagi Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Lembah Klang (KPBJLK) namun itu bukanlah halangan buat mereka yang mahu menyaksikan aksi kelas dunia daripada Harimau Selatan.

 

Aksi terbaharu JDT menentang FC Machida Zelvia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) sekali lagi tidak menghampakan mereka dengan keputusan seri tanpa jaringan menguntum senyuman buat para penyokong.

 

Meskipun tanpa jaringan, namun mereka yang hadir berpuas hati dengan persembahan penjaga gol, Syihan Hazmi yang tampil cemerlang hingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

 

Mohd Faeiz Abdullah, Pengerusi KPBJLK menjelaskan aksi ‘masterclass’ dari Syihan memastikan JDT mendapat mata pertama di ACLE musim ini dan penjaga gol itu membuktikan dia sememangnya layak menggalas tugasan penting ini di peringkat tertinggi kelab Asia.

 

“Syihan menyebabkan perjalanan panjang kami tidak terasa. Kami menempuh lebih 700km pergi dan balik namun hati merasa puas dengan satu mata ini kerana kita tahu bukan mudah untuk bertemu pasukan dari Jepun.

 

“Syihan juga kini membuktikan dia sememangnya penjaga gol nombor satu JDT dan seharusnya diberikan peluang bermain di ACL Elite yang juga boleh membantu dirinya beraksi lebih baik di peringkat kebangsaan,” katanya.

 

Selepas tidak diturunkan langsung dalam 10 perlawanan ACLE musim lalu, Syihan melakukan debut cemerlang di Asia dengan ‘clean sheet’ selain menafikan sepakan penalti lawan pada babak pertama.

 

Syihan yang ditemubual oleh pihak media setelah habis perlawanan mengakui dia sebagai pemain sentiasa bersedia untuk diturunkan dan berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang menjadikan debutnya lebih bermakna.

 

Mengikut rekod, Syihan sudah beraksi dalam tujuh perlawanan bersama JDT musim ini dan masih belum dibolosi dalam tiga kejohanan berbeza.

 

#JohorSafeZone
#ACLElite
#PenyokongJDT
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor