SMK BANDAR PUTRA CIPTA REKOD DI SINGAPURA
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL

Pasukan SMK Bandar Putra, Kulai mencipta sejarah dengan meraih tempat keempat dunia dalam STEM Racing World Finals 2025 di Singapura. | Foto Jabatan Pendidikan Negeri Johor
#IskandarPuteri – Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, Kulai, melakar sejarahnya yang tersendiri apabila berjaya menduduki tempat keempat terbaik dunia dalam STEM Racing World Finals 2025 yang berlangsung di Sentosa Resort World Convention Centre, Singapura, dari 25 September hingga 2 Oktober lalu.
Kejayaan membanggakan yang diraih oleh SMK Bandar Putra turut meletakkan Malaysia berada sebaris dengan kuasa besar lain dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sekali gus mencatatkan rekod pencapaian tertinggi negara dalam kejohanan itu sejak ia diperkenalkan pada 2004. Lebih manis, kejayaan pasukan dari Johor ini turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Verbal Presentation Award.
Pertandingan yang menghimpunkan 83 pasukan terbaik dari seluruh dunia ini bukan sekadar menguji kreativiti dan inovasi dalam mereka bentuk kereta F1 mini, tetapi turut menilai aspek lain seperti kepimpinan, strategi perniagaan serta kepakaran dalam bidang STEM.
Pencapaian ini jelas membuktikan kemampuan anak muda Johor untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus meneroka potensi diri mereka untuk menguasai bidang STEM yang mencabar dan dinamik.
Kejayaan ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pendidikan berasaskan STEM di Johor, selaras dengan aspirasi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dalam melahirkan insan berpengetahuan, berakhlak, celik teknologi dan bersedia mendepani cabaran global pada masa hadapan.
#JohorSafeZone
#STEM
#STEMRacingWorldFinals
#JohorLeads
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor