AURA JUARA CHONG WEI BANTU PEMBANGUNAN ATLET MUDA JOHOR

Kerajaan Negeri Johor merancang membina Akademi Badminton Lee Chong Wei Johor Arena di Iskandar Puteri bagi melahirkan lebih ramai bakat sukan badminton berkualiti tinggi di negeri ini. | Foto MDJ Wira Anggara

#IskandarPuteri – Sebut sahaja nama Lee Chong Wei, sama ada anda peminat sukan badminton atau tidak, hampir semua peringkat umur mengenali legenda badminton dunia tersebut.

 

Perkara ini dapat disaksikan apabila baru-baru ini anak kecil, ibu bapa serta peminat sukan badminton membanjiri Arena Badminton Johor, Taman Perling untuk tidak melepaskan peluang bersemuka dan beramah mesra dengan Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei, Duta Sukan Johor.

 

Kehadiran Chong Wei sebagai Duta Sukan Johor menjadi nilai tambah dalam pembangunan atlet muda Johor dan impak bekas juara dunia ini sentiasa mendapat sambutan positif daripada kalangan peminat sukan badminton di seluruh negeri.

 

Zaid Ahmad, Pengerusi Teknik Badminton Daerah Kota Tinggi menyifatkan pelantikan Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei sebagai Duta Sukan Johor adalah satu langkah yang bijak dalam menarik perhatian semua untuk fokus kepada sukan badminton di negeri ini.

 

“Siapa yang tidak kenal Lee Chong Wei, semua tahu kisah kejayaan beliau dalam sukan badminton dan semua peringkat umur mengidolakan Chong Wei dalam sukan ini.

 

“Apabila Chong Wei diumumkan sebagai Duta Sukan Johor, saya bangga dengan berita tersebut kerana kita ada satu ikon dunia yang boleh kongsikan pengalaman terbaik untuk atlet muda dan secara tidak langsung bawa nama Johor ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

 

Nagarajan A/L Dorai Rajoo, bapa kepada Navina yang merupakan atlet pembangunan sukan badminton negeri Johor bersyukur dengan kehadiran legenda badminton dunia tersebut ke negeri ini.

 

“Saya memang peminat sukan badminton, dan sekarang anak pun mewakili negeri Johor dalam sukan badminton, sudah tentu Lee Chong Wei menjadi contoh terbaik untuk anak berjaya ke peringkat lebih tinggi.

 

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Sukan Negeri Johor dan Persatuan Badminton Negeri Johor kerana sentiasa menyokong perkembangan prestasi anak saya dalam menjaga kebajikan atlet serta menyediakan fasiliti sukan terbaik di negeri ini,” ujar Nagarajan.

 

Navina mewakili kontinjen Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) dalam sukan badminton dan berjaya meraih juara di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2025, September lepas.

 

Dato’ Seri Dr. Lee Chong Wei dilantik sebagai Duta Sukan Johor pada Mac 2025 diyakini mampu memberi impak positif dalam pembangunan atlet muda negeri Johor selaras dengan aspirasi untuk memperkasakan budaya sukan bertaraf dunia dalam merealisasikan agenda Johor Sport Nation 2030.

 

Bagi memastikan negeri Johor tidak ketandusan bakat terbaik dalam sukan badminton, Kerajaan Negeri Johor sedang merancang untuk membina sebuah akademi badminton Lee Chong Wei Johor Arena di kawasan Iskandar Puteri.

 

#JohorSafeZone
#DutaSukanJohor
#JohorSportsAmbassador
#LeeChongWei
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor