MBJB PERKUKUH PERSEDIAAN TAHUN MELAWAT JOHOR 2026

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperkukuh kempen Tahun Melawat Johor 2026 dengan menganjurkan Kursus Pemandu Pelancong Guide Hebat, Pelancong Melekat di Dewan Kenanga, Menara MBJB. | Foto Majlis Bandaraya Johor Bahru
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL
#IskandarPuteri – Usaha untuk menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Johor 2026 terus diperkukuh apabila Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tampil menganjurkan Kursus Pemandu Pelancong Guide Hebat, Pelancong Melekat yang berlangsung di Dewan Kenanga, Menara MBJB baru-baru ini.
Kursus berkenaan yang berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada pemandu pelancong, agensi kerajaan, penggiat industri pelancongan dan wakil media itu bertujuan untuk memperkasakan lagi peranan pemandu pelancong sebagai ‘duta kecil Johor’, sekali gus menjadikan mereka antara wajah utama dalam memperkenalkan keunikan budaya, warisan dan hospitaliti Johor Bahru kepada pelancong.
Menerusi kursus ini, peserta turut didedahkan secara komprehensif mengenai pelbagai sejarah, budaya serta produk pelancongan baharu Johor melalui pembentangan bertajuk ‘Globalising Johor Bahru History in the Form of Storytelling’ yang menekankan penceritaan kreatif sebagai daya tarikan pelancongan moden.
Selain itu, MBJB juga menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di kawasan ‘The Greater JB’ yang menyediakan insentif khas dengan memberikan sijil pengiktirafan rasmi dan lencana khas kepada peserta kursus yang berjaya menamatkan latihan, sekali gus memperkukuh kedudukan tahap profesionalisme pemandu pelancong di Johor.
Lebih memberangsangkan, kursus berkenaan turut mendapat kerjasama erat daripada pihak berwajib seperti Tourism Johor, Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Johor, Yayasan Warisan Johor (YWJ), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Bahagian Pengurusan Ekonomi Negeri Johor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pemain industri pelancongan swasta.
Inisiatif kursus Guide Hebat, Pelancong Melekat ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen MBJB dalam memperkasa ekosistem pelancongan bandar dan memperkenalkan bandar raya Johor Bahru sebagai hab pelancongan warisan serta gaya hidup urban, seiring aspirasi Tahun Melawat Johor 2026.
#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#MajesticJohor
#LiveableJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor