PERSEMBAHAN FORMASI DRON MEWARNAI PELANCARAN TAHUN MELAWAT JOHOR 2026

Pertunjukan formasi dron yang menghiasi langit di Dataran Bandaraya Johor Bahru sempena Majlis Pelancaran Tahun Melawat Johor 2026 dan Festival Budaya Malaysia 2025. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Tahun Melawat Johor 2026 secara rasmi dilancarkan dengan penuh gilang-gemilang dan warna-warni disaksikan ribuan rakyat Johor yang membanjiri Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

 

Majlis pelancaran turut memukau pengunjung menerusi pertunjukan formasi dron yang menghiasi langit dengan memaparkan gambus selain ‘Cuping’ dan ‘Jucy’, maskot rasmi serta logo kempen Tahun Melawat Johor 2026.

 

Sempena Tahun Melawat Johor 2026 yang mensasarkan kehadiran lebih 12 juta pengunjung, Kerajaan Negeri memperkenalkan rangkaian produk pelancongan baharu dan melaksanakan penaiktarafan infrastruktur bagi mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan utama.

 

Antaranya, Zoo Johor yang tampil dengan wajah baharu dan telah mencatatkan 1.2 juta pelawat tahun ini bakal dibuka pada waktu malam bermula tahun hadapan diikuti dengan
pemerkasaan lokasi tarikan seperti Ekopelancongan Kampung Sungai Melayu, Pusat Rekreasi Danga Bay dan Sungai Lebam, pembukaan Muzium Tokoh serta perkhidmatan ‘River Cruise’ di Sungai Johor.

 

Kemeriahan Tahun Melawat Johor 2026 turut akan diserikan dengan lebih 60 acara berskala besar dan antarabangsa termasuk Majestic Johor Festival, Festival Zapin dan Muzikal Antarabangsa, Pesta Durian Segamat serta pelbagai acara sukan yang dirancang sepanjang tahun.

 

Selain itu, laluan udara Johor terus dipertingkatkan dengan 536 penerbangan mingguan ke 20 destinasi meliputi Bangkok, Ho Chi Minh, Jakarta, Surabaya, Madinah dan Jeddah di samping perkhidmatan tren elektrik (ETS) Kuala Lumpur–Johor Bahru yang menambah baik pilihan mobiliti rakyat dan pelawat ke ibu negara.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan pelancaran Tahun Melawat Johor 2026 dan Festival Budaya Malaysia 2025 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

 

Turut hadir, YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, serta YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

 

#JohorSafeZone
#VisitJohor2026
#PesonaJohor
#MehLahJohor
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor