JOHOR ALAMI HUJAN BERTERUSAN HINGGA KHAMIS INI

Notis amaran hujan berterusan sehingga 18 Disember 2025. Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Negeri Johor kini berada dalam situasi Amaran Hujan Berterusan yang dijangka berlarutan sehingga 18 Disember 2025, menurut laporan terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), melibatkan dua tahap amaran iaitu Tahap Buruk dan Tahap Waspada.

 

Empat daerah yang diramal mengalami hujan tahap buruk ialah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, di mana hujan lebat berterusan berisiko boleh menyebabkan banjir besar, banjir kilat, peningkatan paras sungai secara mendadak serta gangguan kepada jalan utama dan operasi lapangan.

 

Justeru, penduduk di kawasan berdataran rendah, berhampiran sungai dan pesisir pantai dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

 

Sementara itu, amaran hujan tahap waspada dikeluarkan melibatkan daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru dengan jangkaan hujan berterusan yang berpotensi boleh mengakibatkan banjir setempat serta gangguan pergerakan harian.

 

Susulan perkembangan ini, Kerajaan Negeri turut memaklumkan bahawa seluruh jentera negeri kini berada dalam mod kesiapsiagaan tinggi dengan Pegawai Daerah serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil sekiranya keadaan menjadi bertambah buruk.

 

Pada masa sama, seluruh Bangsa Johor diminta untuk sentiasa kekal berwaspada, mengikuti maklumat rasmi daripada MET Malaysia dan agensi berkaitan serta mengambil langkah keselamatan bagi melindungi diri, keluarga dan harta benda.

 

Kerajaan Negeri turut mengajak seluruh Bangsa Johor untuk sama-sama berdoa agar keadaan cuaca kembali stabil, dijauhkan daripada sebarang musibah dan semoga Allah SWT terus memelihara Johor serta seluruh rakyatnya.

 

#JohorSafeZone
#metmalaysia
#MonsunTimurLaut
#AmaranHujanLebat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor