YAYASAN JCORP BINA SISTEM SOLAR FOTOVOLTA DI SA TUNJUK LAUT

SA Tunjuk Laut juga bakal menikmati Sistem Solar Fotovolta yang dilengkapi dengan teknologi Internet of Things (IoT), sekali gus pemantauan prestasi tenaga dapat dilakukan dan seterusnya membolehkan sistem yang disediakan dapat berfungsi dengan baik untuk memudahkan operasi harian di sekolah berkenaan. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#KotaTinggi – Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Sekolah Agama (SA) Tunjuk Laut bakal menjadi lebih efektif apabila terpilih menerima kemudahan Sistem Solar Fotovolta menerusi Projek Tenaga Solar ‘The Future Powered Project’ yang dilaksanakan oleh Yayasan JCorp.

 

Projek berkenaan yang turut mendapat kerjasama daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ); Johor Plantations Group Berhad (JPG) dan rakan strategik IJM Industry ICP Piles itu secara tidak langsung membolehkan sekolah dalam kategori luar bandar itu untuk menikmati kemudahan elektrik yang lebih baik berbanding penggunaan generator berkuasa diesel sebelum ini.

 

Menerusi projek ini, SA Tunjuk Laut telah menerima Sistem Solar Fotovolta yang dilengkapi dengan teknologi Internet of Things (IoT), sekali gus pemantauan prestasi tenaga dapat dilakukan dan seterusnya membolehkan sistem yang disediakan dapat berfungsi dengan baik untuk memudahkan operasi harian di sekolah berkenaan.

 

Usaha yang dilaksanakan ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar serta pada masa sama berupaya meningkatkan kelestarian tenaga. Ini kerana SA Tunjuk Laut ini merupakan sekolah luar bandar yang beroperasi sepenuhnya tanpa sambungan grid elektrik dan terpaksa bergantung penuh kepada sumber elektrik yang dijana daripada generator diesel yang sering mengalami gangguan.

 

Menurut Ustaz Zairullizam Ikhwan, Guru Besar SA Tunjuk Laut, pihaknya sememangnya amat berbesar hati kerana terpilih untuk menerima manfaat daripada projek ini memandangkan murid sekolah berkenaan sering menghadapi kesukaran dalam mengikuti proses PdP yang lebih baik akibat ketiadaan akses elektrik konvensional seperti yang terdapat di sekolah lain.

 

Katanya, pihaknya bersyukur kerana dengan adanya sistem tersebut membolehkan setiap anak didik di sekolah berkenaan dapat merasai dan menikmati keselesaan ketika mengikuti proses PdP di bilik darjah masing-masing dengan lebih baik pada masa akan datang.

 

Pada majlis sama, SA Tunjuk Laut turut menerima sumbangan berupa dua unit televisyen pintar (Smart TV) dan beberapa barangan keperluan ‘Kembali Ke Sekolah’ yang disediakan oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) serta 200 unit kerusi dan papan putih disumbangkan oleh IJM Industry ICP Piles bagi kegunaan murid dan guru sekolah berkenaan. Selain itu, Sijil Kursus Penyelenggaraan Polar PV turut disampaikan kepada 13 peserta yang terdiri daripada guru dan penduduk setempat.

 

Terdahulu, YB Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Solar kepada Sekolah Agama Tunjuk Laut, hari ini.

 

Turut hadir ialah YBrs. Puan Wan Su Ali, Pengurus Besar Yayasan JCorp; YBrs. Encik Shah Reza Md Kanafe, Pengurus Kanan YSIJ dan YBrs. Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM.

 

#JohorSafeZone
#YayasanJCorp
#UTM
#JPG
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor