INOVASI ARTISAN CRYSTAL CANDY SERLAHKAN VARIASI BAHARU AGAR-AGAR KERING

Rohayati Separanan, pengusaha Artisan Crystal Candy. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru- Jika dahulu agar-agar kering hanya dikenali dan boleh didapati ketika Hari Raya Aidilfitri, namun dengan adanya beberapa perniagaan mula menjadikan produk premium mereka menyebabkan manisan tradisi ini mula kembali mendapat tempat dalam kalangan hati masyarakat masa kini.

 

Agar-Agar Kering yang agak sinonim dengan masyarakat Melayu Bugis ini tetap digemari walaupun bukan tergolong sebagai manisan mewah. Kini, Agar-Agar Kering telah divariasikan dengan cara baharu mengikuti peredaran trend semasa yang boleh didapati dalam pelbagai rasa serta reka bentuk agar lebih kotemporari hingga ia kembali digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.

 

Pembuatan manisan ini diinspirasikan daripada manisan tradisional negara Jepun iaitu ‘Kohakutou’ atau dikenali sebagai Artisan Crystal Candy yang pernah popular di media sosial kerana rupa bentuk yang cantik serta bunyi rangup apabila digigit.

 

Perniagaan yang diusahakan melalui aplikasi Tik Tok telah bermula sejak dua tahun yang lalu ketika manisan ini sedang popular di luar negara. Di mana pada waktu itu golongan Gen Z menghasilkan video berkonsep tindak balas puncak deria atau sinonimnya ‘ASMR’ di aplikasi Tik Tok telah mengembalikan nostalgia Agar-Agar kering ini.

 

Berbeza dengan Agar-Agar Kering tradisi yang lebih berbentuk kapsul dengan tona berwarna-warni suatu ketika dahulu, adaptasi antara warisan Melayu Bugis dan Jepun telah menghasilkan variasi Agar-Agar Kering yang lebih menarik.

 

Menurut Rohayati Separanan, 54, beliau mempelajari cara membuat Artisan Crystal Candy melalui Kelas Pemanis Mulut dan bermula dari itu beliau mengolah cara membuat agar-agar kering ini supaya ia kelihatan berbeza dengan produk sama sedia ada serta memerlukan kemahiran, sukatan yang tepat dan mengambil masa dua hingga tiga hari untuk dikeringkan sebelum dihias dan dibungkus.

 

Manisan ini mempunyai pelbagai perisa antaranya peach, lemon, beri biru dan buah-buahan. Bagi agar-agar kering berbentuk bulat, ia dijual dengan harga RM55 bagi 100 biji terutama ketika musim perayaan.

 

Manakala, Dandeelicious Artisan Crystal Candy pula dijual pada harga RM35 bagi setiap bekas dan harganya mungkin berbeza bergantung kepada corak yang diinginkan oleh pelanggan.

 

Bukan sahaja boleh dijadikan sebagai kudapan, malah manisan tradisi ini turut mendapat sambutan dan menerima tempahan sebagai hadiah hari jadi, hantaran pertunangan atau perkahwinan dan cenderamata untuk diberikan kepada tetamu atau kenalan.

 

Selain mengusahakan Dandeelicious Artisan Crystal Candy, ibu kepada empat cahaya mata ini juga menerima tempahan kek untuk perkahwinan, hari jadi dan majlis tertentu serta berhasrat untuk meluaskan penghasilan Agar-Agar Kering ini supaya generasi akan datang turut mengenali dan menghargai manisan tradisional ini.

 

#JohorSafeZone
#ArtisanCrystalCandy
#AgarAgarKering
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor