KERAJAAN JOHOR PERUNTUK RM1.15 JUTA UNTUK JEMAAH HAJI TAHUN INI

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Johor di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn. | Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sejumlah RM1.15 juta menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) bagi membantu seramai 3,866 jemaah dari negeri ini yang akan menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M.
Peruntukan ini adalah antara komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan kebajikan Bangsa Johor terus terbela, khususnya dalam membantu meringankan kos persiapan jemaah dari negeri ini untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Pengumuman tersebut dibuat oleh YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn semalam.
Melalui kursus ini, jemaah haji didedahkan dengan latihan praktikal termasuk tawaf, saie dan melontar jamrah bagi memberi gambaran situasi sebenar di Tanah Suci, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dari aspek rohani, mental dan fizikal mereka sebelum berlepas ke Makkah, Arab Saudi, kelak.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut mengingatkan bakal jemaah haji agar sentiasa menjaga disiplin serta akhlak sepanjang berada di Tanah Suci, selari dengan imej jemaah haji Malaysia yang sentiasa dikenali dengan adab tertibnya di peringkat antarabangsa.
#JohorSafeZone
#Haji1447H
#JemaahHajiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



