CUACA PANAS DAN PENYUSUTAN SUMBER AIR PUNCA GANGGUAN BEKALAN

Kerajaan Negeri bersama NADMA melaksanakan operasi pembenihan awan di Empangan Upper Layang, Pulai dan Machap bagi meningkatkan hujan serta memulihkan paras air mentah. | Foto FB Fazli Salleh

 

#IskandarPuteri — Kerajaan Negeri menolak tohmahan dilemparkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan kononnya gangguan bekalan air di Simpang Renggam, Kluang dan Benut, Pontian dengan pembangunan pusat data adalah tidak benar sama sekali.

 

Ia berdasarkan fakta bahawa tiada sebarang pusat data yang menerima bekalan air dari Simpang Renggam dan Benut, selain kedua-dua lokasi berkenaan juga bukan menjadi kawasan pembangunan pusat data di negeri ini.

 

Sebaliknya, penyusutan paras sumber air mentah terjadi akibat situasi cuaca panas dan kemarau berpanjangan yang dikenal pasti sebagai punca utama gangguan bekalan air berjadual di kawasan Pontian dan Simpang Renggam pada ketika ini.

 

Bekalan air bagi Simpang Renggam dan Benut disalurkan melalui Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang memproses sumber air mentah daripada Sungai Ulu Benut dengan sokongan Empangan Machap yang mempunyai kapasiti maksimum 64 juta liter sehari (MLD).

 

Justeru, bagi membolehkan LRA berkenaan beroperasi pada kapasiti penuh dengan menggunakan empat pam memerlukan paras pengambilan air (intake) Sungai Benut yang melebihi 4.90 meter, namun bacaan semasa yang direkodkan adalah pada sekitar 4.66 meter dan paras itu masih di bawah tahap operasi optimum, sekali gus mengehadkan pengeluaran air bersih terawat kepada pengguna.

 

Keadaan ini juga memerlukan satu mekanisme pelaksanaan bekalan air berjadual bagi memastikan agihan bekalan air dapat dilakukan secara adil dan seimbang kepada pengguna di kawasan yang terjejas dengan isu ini.

 

Sebagai langkah mitigasi segera, Kerajaan Negeri bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan utama termasuk Empangan Upper Layang, Pulai dan Machap bagi meningkatkan peluang hujan serta mempercepat pemulihan paras air mentah di kawasan tadahan air berkenaan.

 

Komitmen berterusan yang diberikan ini bukan sahaja untuk memastikan kestabilan bekalan air kepada rakyat sentiasa terpelihara, tetapi juga bagi memastikan setiap pembangunan industri di Johor akan dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan bertanggungjawab.

 

#JohorSafeZone
#BekalanAir
#CuacaPanas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor