“KATA-KATA BOSS TENANGKAN KAMI MENJELANG PERLAWANAN” – NATXO INSA

Perjumpaan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor selaku pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama para pemain di bilik persalinan sebelum perlawanan JDT bertemu Vissel Kobe. | Foto kredit: JST
#IskandarPuteri – Kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan juara Liga 1 Jepun, Vissel Kobe menyaksikan Harimau Selatan berjaya menempah tempat ke Pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) buat musim kedua berturut-turut.
Gol tunggal perlawanan menerusi Marcos Guilherme pada minit ke-74 disambut meriah dan gegak gempita lebih 31 ribu penyokong Merah Biru yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan skuad kendalian Xisco Munoz.
Ketua pasukan, Natxo Insa menggambarkan kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak yang terlibat dengan kelab terutamanya pemilik, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor.
“Selepas tewas kepada Hiroshima, kami kembali yakin yang kami mampu lakukan perkara ini. Kami hanya mempunyai satu peluru dalam senjata dan kami perlu gunakannya sebaiknya.
“Kehadiran Boss dalam sesi latihan terakhir menambah motivasi para pemain. Kami mempunyai perbualan yang sangat baik dan ia membantu kami melepaskan tekanan paling besar dalam pasukan.
“Tunku Ismail sering berkata kami adalah pasukan kecil yang bercita-cita besar dan kami berjaya membuktikannya pada aksi ini,” katanya selepas perlawanan.
Insa yang beraksi cemerlang mematahkan gerakan lawan turut memuji sokongan diberikan para penyokong di stadium yang menganggap ianya sebagai pemangkin semangat buat para pemain.
“Penyokong sangat fantastik malam ini. Mereka sentiasa berada di belakang kami di kala kami berdepan pelbagai masalah musim ini terutama selepas kami kehilangan pemain terbaik, Arif Aiman dan juga penggantungan tiga pemain sebelum ini.
“Namun para penyokong kekal di belakang kami tidak kira di mana kami beraksi dan ianya menjadi nadi kekuatan serta kejayaan kami musim ini,” jelasnya.
JDT kini menunggu siapa lawan mereka di Pusingan 16 tetapi bagi Insa, mereka bersedia untuk bertemu sesiapa pun kerana ini adalah tuntutan di peringkat tertinggi Asia.
Luaskan Kuasamu Johor!
#ACLE20252026
#JDTForAll
#TheTMJeffect
#WhatCanYouDo
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



