SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR TERUSKAN ‘LEGASI’ PENTADBIRAN PERKHIDMATAN AWAM JOHOR

Sesi ‘clock-in’ pertama YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir sebagai Setiausaha Kerajaan Johor ke-26 berlangsung dengan simbolik serah tugas daripada YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, menandakan peralihan amanah serta kesinambungan legasi pentadbiran perkhidmatan awam Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus melakar kesinambungan legasi pentadbiran perkhidmatan awamnya menerusi sesi ‘clock-in’ pertama YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir selaku Setiausaha Kerajaan Johor (SUKJ) ke-26, selepas beliau dilantik memegang jawatan itu pada 20 Februari lalu.

 

YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir turut menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang telah diberikan serta menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar dalam memastikan agenda pembangunan Johor akan terus dilaksanakan secara konsisten dan berimpak tinggi.

 

Beliau yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pegawai Kewangan Negeri turut menyatakan komitmennya untuk terus memperkukuh nilai tadbir urus, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian serta memperkasakan integriti perkhidmatan awam sebagai satu keutamaan.

 

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Menyulam Bakti, Meneruskan Legasi di Lobi Utama, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, hari ini.

 

Pada majlis sama, turut berlangsung sesi ‘clock in’ melibatkan YB Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Haji Osman yang turut dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu yang sebelum ini jawatan tersebut disandang oleh YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir.

 

Selain itu, majlis berkenaan turut menyaksikan sesi ‘clock-out’ oleh YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, mantan Setiausaha Kerajaan Johor ke-25 dan sesi serah tugas kepada SUKJ yang baharu sebagai simbolik peralihan amanah dan kesinambungan legasi pentadbiran.

 

Turut hadir ialah YB Datuk Abd Aziz Engan, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor; YB Dato’ Haji Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) dan YBhg. Tuan Haji Ahmad Nazir Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan).

 

Hadir sama, YBhg. Puan Norliyati Md. Nor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat); YB Dato’ Haji Onn Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) serta Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai Tadbir Kerajaan Johor.

 

#JohorSafeZone
#MenyulamBaktiMeneruskanLegasi
#SUKJ
#KerajaanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor