JOHOR SIAP SIAGA ANJUR SUKAN SEA MALAYSIA 2027

Johor giat memperkukuh kesiapsiagaan sebagai tuan rumah kluster bola sepak Sukan SEA Malaysia 2027 menerusi perancangan rapi melibatkan infrastruktur, logistik dan penyelarasan, bagi kejohanan yang berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 merangkumi 38 jenis sukan. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Johor kini memperkukuh kesiapsiagaan sebagai tuan rumah kluster bagi acara bola sepak temasya Sukan SEA Malaysia 2027 menerusi perancangan rapi, terutama melibatkan aspek infrastruktur, logistik dan penyelarasan penganjuran, sekali gus mencerminkan komitmen negeri ini bagi memastikan kelancaran kejohanan sukan serantau bertaraf antarabangsa.

 

Terdapat enam venue utama yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri bagi acara ‘ibu segala pingat’ itu, termasuk Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Stadium Mini Kulai, Stadium Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Stadium Taman Ungku Tun Aminah.

 

Cadangan ini memperlihatkan kesiapsiagaan keupayaan infrastruktur sukan negeri ini yang mampu menampung keperluan pertandingan bertaraf antarabangsa, selari dengan aspirasi untuk menjadikan Johor sebagai hab sukan kompetitif di rantau ini.

 

Selain venue pertandingan, sebanyak lima lokasi latihan turut disediakan merangkumi Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) Sri Gelam, Padang Dataran Iskandar Puteri, Pusat Latihan Mawar, Pasir Gudang, Stadium Olahraga Kompleks Sukan Johor serta Padang Kolej Dato’ Onn Jaafar, UTM.

 

Selain itu, Kerajaan Johor turut memperuntukkan RM5 juta bagi persediaan penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027 bagi memastikan penganjuran acara berkenaan dapat dilangsungkan mengikut piawaian Persekutuan Sukan Asia Tenggara, sekali gus memastikan kejayaan penganjuran dan meningkatkan imej negeri di peringkat antarabangsa.

 

Malaysia bakal menganjurkan Sukan SEA 2027 bermula dari 18 hingga 29 September 2027 yang akan melibatkan 38 jenis sukan secara keseluruhan, membabitkan empat kluster utama iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor selaku wakil rasmi YB Setiausaha Kerajaan Johor, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Bil. 1/2026 Sukan SEA Malaysia 2027 Kluster Johor pada Rabu.

 

#JohorSafeZone
#SukanSEAMalaysia2027
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor