DUYUFURRAHMAN ROMBONGAN KERAJAAN JOHOR TERUJA BAKAL TUNAI HAJI TAHUN INI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Perjumpaan Bersama Bakal-Bakal Haji RKJ 1447H/2026M di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Rasa syukur dan kegembiraan jelas terpancar dalam kalangan jemaah haji negeri apabila terpilih menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini, menerusi Rombongan Kerajaan Johor (RKJ).
Menyifatkan rezeki menjadi duyufurrahman di bawah RKJ sebagai amat bermakna, Haziq Zairudin, 47, seorang penjawat awam, menzahirkan penghargaan apabila kos tambang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Lebih istimewa, beliau bersama bakal jemaah haji RKJ lain turut diraikan serta menerima sumbangan ‘one-off’ BKJ setiap seorang bagi membantu meringankan perbelanjaan sepanjang berada di Tanah Suci.
Bagi Zainura Ali, 60, seorang pesara kerajaan memberitahu panggilan ke Tanah Suci merupakan detik yang amat dinanti-nantikan malah menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri memilihnya sebagai salah seorang jemaah haji RKJ.
Pada tahun ini, seramai 500 jemaah haji akan menyertai RKJ sekali gus meneruskan legasi program yang dilaksanakan sejak tahun 1952 sebagai antara inisiatif signifikan dalam membantu rakyat Johor menunaikan ibadah haji.
Selain itu, seramai 3,800 jemaah haji dari Johor turut menerima BKJ berjumlah RM300 seorang daripada Kerajaan Negeri, manakala Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) pula menyumbang pek makanan sepanjang menunaikan ibadah.
Penerbangan pertama jemaah RKJ dijadualkan pada 7 Mei ini melibatkan empat penerbangan dan akan diketuai oleh YBhg. En. Fizwan Dato’ Mohd Rashidi, Pegawai Daerah Kulai selaku Ketua Rombongan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir pada Majlis Perjumpaan Bersama Bakal-Bakal Haji RKJ 1447H/2026M di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), hari ini.
#JohorSafeZone
#Haji1447H/2026M
#RombonganKerajaanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


