JOHOR SALUR RM110.8 JUTA MANFAATKAN GOLONGAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

Pelaksanaan BKJ Fasa Keempat ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh agenda kebajikan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM110.8 juta bagi pelaksanaan lima inisiatif di bawah Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat yang dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 500,000 Bangsa Johor.

 

Peruntukan ini dilaksanakan di bawah portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor sebagai usaha untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial, selain bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih bersasar dan inklusif kepada golongan yang memerlukan.

 

Inisiatif ini akan memberi tumpuan kepada golongan warga emas, suri rumah, pasangan baharu berkahwin, Orang Kurang Upaya (OKU) serta penerima bantuan am melalui bantuan kewangan, sokongan kebajikan dan pemerkasaan ekonomi keluarga.

 

Sebanyak RM61 juta telah diperuntukkan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas yang juga penerima Bantuan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Tunai Rahmah (STR) melibatkan 306,620 penerima, manakala peruntukan sebanyak RM27.2 juta pula disalurkan kepada suri rumah tidak bekerja dalam kategori B40 dan M40 dengan pengesahan Ketua Kampung dan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Selain itu, RM18 juta diperuntukkan kepada pasangan yang baharu berkahwin buat kali pertama pada tahun 2024 dan 2025, selain RM3.4 juta kepada murid OKU berdasarkan data Sistem Maklumat Murid Orang Kurang Upaya (SMOKU) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta RM1.2 juta kepada penerima Bantuan Am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor.

 

Pelaksanaan BKJ Fasa Keempat ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperkukuh agenda kebajikan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

 

Terdahulu, YB Puan Hajah Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor