KOMPLEKS WARISAN SULTAN ABU BAKAR DIBUKA KEPADA UMUM ESOK

Pembukaan KWSAB selari dengan usaha berterusan Kerajaan Johor dalam memelihara serta memperkasa khazanah warisan negeri, di samping memperkenalkan identiti dan keunikan Johor kepada pelancong tempatan serta antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026. | Foto FB Yayasan Warisan Johor

 

#IskandarPuteri – Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar (KWSAB) bakal dibuka kepada orang ramai mulai esok, 3 Jun, sebagai satu lagi produk pelancongan budaya dan warisan baharu yang memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan berteraskan seni, budaya dan warisan Bangsa Johor.

 

Pembukaan KWSAB selari dengan usaha berterusan Kerajaan Johor dalam memelihara serta memperkasa khazanah warisan negeri, di samping memperkenalkan identiti dan keunikan Johor kepada pelancong tempatan serta antarabangsa sempena Tahun Melawat Johor 2026.

 

Kompleks berkenaan menawarkan pelbagai tarikan menarik termasuk Pakej Lawatan Warisan KWSAB, Galeri Seni, Anjung Warisan, Galeri Tenun Johor, pameran pakaian Bangsa Johor, demonstrasi Sanggul Tradisional serta pelbagai pengalaman interaktif yang mengetengahkan keunikan seni dan budaya negeri ini.

 

Bersempena pembukaannya, pengunjung warganegara boleh menikmati harga promosi khas bagi Pakej Lawatan Warisan KWSAB bermula 3 Jun hingga 2 Julai ini pada kadar RM5 bagi dewasa serta RM2 bagi warga emas dan kanak-kanak atau pelajar berusia antara dua hingga 17 tahun.

 

Bagi bukan warganegara pula, tiket lawatan ditawarkan pada kadar RM30 bagi dewasa dan RM20 bagi warga emas serta kanak-kanak atau pelajar, manakala kanak-kanak berusia bawah dua tahun dan orang kurang upaya (OKU) akan menikmati kemasukan secara percuma.

 

Selain lawatan warisan, persembahan kebudayaan tradisional yang menampilkan keunikan seni dan budaya Johor akan mula dipentaskan pada 12 Jun ini dengan tawaran harga promosi sehingga 12 Julai, iaitu RM25 bagi dewasa serta RM10 bagi warga emas dan kanak-kanak atau pelajar warganegara berusia antara dua hingga 17 tahun.

 

Bagi bukan warganegara, kadar bayaran yang ditetapkan adalah RM100 untuk dewasa dan RM50 bagi warga emas serta kanak-kanak atau pelajar, manakala kanak-kanak berusia bawah dua tahun serta OKU turut diberikan kemasukan secara percuma.

 

KWSAB akan beroperasi setiap Selasa hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 5 petang, kecuali pada Jumaat dan Sabtu yang dilanjutkan sehingga jam 10 malam, sekali gus menjadi medium memperkenalkan serta memelihara warisan dan budaya Bangsa Johor untuk generasi akan datang.

 

#JohorSafeZone
#MajesticJohor
#MehLahJohor
#KWSAB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor