JAINJ INGATKAN SEMULA LARANGAN AKTIVITI POLITIK DI MASJID DAN SURAU

Pada masa sama, penglibatan dalam program berbentuk kerohanian, kebajikan, pendidikan dan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat masih dibenarkan selaras dengan peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan ummah, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama. | Foto Arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Semua masjid dan surau di seluruh Johor akan terus dipelihara sebagai institusi penyatuan ummah yang bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

 

Perkara itu selaras dengan Garis Panduan Larangan Aktiviti Politik Dalam Program Pengimarahan Masjid dan Surau Negeri Johor yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada Mac tahun 2023 dan kembali menjadi rujukan utama menjelang berlangsungnya PRN Johor Ke-16.

 

Menerusi hantaran Facebook Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau menjelaskan bahawa garis panduan berkenaan bertujuan memperincikan tatacara penglibatan mana-mana pihak, termasuk ahli politik, dalam program pengimarahan masjid dan surau supaya setiap aktiviti yang dilaksanakan sentiasa mematuhi peraturan serta memelihara kesucian institusi agama Islam di negeri ini.

 

Antara larangan yang ditetapkan ialah ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan ceramah, tazkirah atau seumpamanya di masjid dan surau. Mereka juga tidak dibenarkan membawa, mempamerkan atau memakai lambang, logo, bendera, pakaian serta apa-apa simbol yang mempunyai unsur politik kepartian.

 

Selain itu, sebarang tindakan yang bertujuan meraih sokongan politik, memburukkan mana-mana pihak atau mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat turut dilarang sama sekali.

 

Garis panduan tersebut turut menegaskan bahawa individu yang tidak mempunyai tauliah atau tidak mendapat kebenaran MAINJ tidak dibenarkan memegang peranan sebagai imam, bilal, noja atau khatib di masjid dan surau di negeri ini.

 

Pada masa sama, penglibatan dalam program berbentuk kerohanian, kebajikan, pendidikan dan sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat masih dibenarkan selaras dengan peranan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan ummah, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama.

 

Penyaluran bantuan dan sumbangan, aktiviti kesukarelawanan seperti gotong-royong, agihan bantuan serta program kebajikan masyarakat juga boleh diteruskan sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.

 

Langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa agama dalam memastikan keharmonian masyarakat serta kesucian institusi masjid dan surau terus terpelihara sepanjang tempoh PRN Johor Ke-16 yang bakal berlangsung susulan pembubaran Dewan Negeri (DUN) Johor Ke-15 berkuat kuasa pada 1 Jun lalu bagi memberi laluan kepada proses demokrasi negeri.

 

#JohorSafeZone
#PRNJohorKe16
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor