PENDEKATAN INKLUSIF JADI ASAS HALA TUJU PENDIDIKAN JOHOR

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

#JohorBahru – Pendekatan inklusif yang mengutamakan pandangan semua pihak akan menjadi asas dalam memperkukuh hala tuju sektor pendidikan Johor bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan berupaya memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.

 

Agenda memperkasa pendidikan Johor ini memerlukan kerjasama daripada semua agensi bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, ujar YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

Malah, pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri Johor juga disifatkan beliau sebagai amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan Bangsa Johor.

 

Menurutnya, seseorang pemimpin perlu memahami struktur sedia ada serta mendengar pandangan daripada semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan agar setiap dasar yang digubal kelak akan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

 

Bakal memulakan tugas secara rasmi pada Isnin ini, Ahli Dewan Negeri (ADUN) kawasan Panti itu akan meneliti keseluruhan portfolio serta agensi di bawah tanggungjawabnya sebelum menentukan pendekatan yang akan dilaksanakan kelak.

 

Pada masa sama, setiap perancangan akan diselaraskan dengan hala tuju kepimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, bagi memastikan agenda pembangunan modal insan negeri akan dapat terus diperkasakan.

 

Pembangunan sektor pendidikan turut menjadi antara keutamaan beliau, termasuk meneliti pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negeri.

 

Dr. Muhammad Naqib turut menegaskan komitmennya untuk berkhidmat kepada seluruh Bangsa Johor tanpa mengira kaum dan latar belakang agar setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada dasar serta inisiatif Kerajaan Negeri.

 

#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor