TIADA MASA BERBULAN MADU, EXCO JOHOR TERUS MULAKAN TUGAS

Kerajaan Negeri komited meneruskan Agenda Maju Johor 2030 secara lebih berfokus demi membina Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera untuk seluruh Bangsa Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Semua barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Negeri Johor yang baharu diingatkan supaya terus memulakan tugas masing-masing tanpa sebarang tempoh ‘berbulan madu’ bagi memastikan mandat yang diberikan oleh Bangsa Johor pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN DN) Johor Ke-16 dapat diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
Pelantikan AMMK Negeri Johor bukanlah satu bentuk keistimewaan, sebaliknya ia merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul demi kepentingan Bangsa Johor, demikian peringatan tegas daripada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Selain itu, mandat besar yang diberikan rakyat menerusi PRU DN Johor ke-16 lalu perlu diterjemahkan kepada sinergi kerja yang lebih kuat, penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta hasil yang dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat di negeri ini.
Malah, Kerajaan Negeri juga bertekad untuk meneruskan Agenda Maju Johor 2030 dengan lebih berfokus dan berkesan demi membina Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera, selain terus membela seluruh rakyat tanpa mengira kaum kerana mereka semua merupakan sebahagian daripada Bangsa Johor.
Barisan EXCO yang dibentuk turut menggabungkan pemimpin berpengalaman dan tenaga baharu bagi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri terus kukuh, cekap serta berkesan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh Bangsa Johor tanpa ada yang terkecuali.
Terdahulu, istiadat mengangkat sumpah jawatan AMMK Negeri Johor selesai dilaksanakan di hadapan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di Istana Bukit Serene, pagi tadi.
Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang baharu terdiri daripada YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi); YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam); YB Tuan Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar) serta YB Tuan Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia).
Turut dilantik ialah YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi; YB Puan Hasrunizah Hassan (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat); YB Tuan Md. Israk Abdullah (Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar); YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali (Pendidikan dan Penerangan) serta YB Tuan Pannir Selvam A/L Paliksina (Perpaduan, Warisan dan Budaya).
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


