RM50 JUTA NAIK TARAF FLAT AWAM DEMI KESELESAAN BANGSA JOHOR

Pangsapuri Desa Muafakat, Larkin menjadi tumpuan lawatan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bersama YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi melaksanakan projek menaik taraf flat awam di seluruh negeri ini sebagai antara usaha berterusan dalam meningkatkan kualiti kediaman serta kesejahteraan hampir 46,772 penduduk, khususnya membabitkan golongan B40.

 

Pelaksanaan projek ini akan melibatkan kerja-kerja mengecat flat kos rendah, flat kos sederhana rendah swasta dan flat awam di 26 lokasi di bawah empat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan penduduk di kawasan perumahan berkenaan dapat menikmati persekitaran kediaman yang lebih selesa, bersih dan kondusif.

 

Program yang diselaraskan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) bersama Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor itu melibatkan 170 blok dengan 11,693 unit kediaman di bawah seliaan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

 

Kerajaan Negeri juga memberi komitmen bahawa setiap projek yang membabitkan kediaman rakyat perlu dipantau secara dekat kerana ia bukan sekadar melibatkan aspek fizikal bangunan, malah ia juga turut menyentuh soal keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan keluarga yang mendiaminya.

 

Sementara itu, kerja-kerja mengecat di Pangsapuri Desa Muafakat yang bermula sejak 15 Jun lalu dijadual siap pada 16 September depan apabila kemajuan fizikal projek yang melibatkan peruntukan lebih RM3.56 juta itu kini telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 34.06 peratus. Projek ini akan terus dipantau agar setiap bahagian bangunan dapat disiapkan dengan kemas, menggunakan bahan yang berkualiti dan menepati spesifikasi yang telah ditetapkan.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor mengadakan lawatan ke Pangsapuri Desa Muafakat, Larkin bagi meninjau sendiri kemajuan projek serta memastikan setiap perancangan Kerajaan Negeri dapat diterjemahkan kepada tindakan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

 

#JohorSafeZone
#PerumahanBangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor