KONTINJEN JOHOR BURU KELOMPOK TIGA TERBAIK SUKMA 2026

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah melapor diri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor bagi penggal baharu di Pejabat MSNJ, Bangunan Dato’ Mohamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kontinjen Johor menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

 

Pada edisi kali ini, Kontinjen Johor bakal disertai kira-kira 1,000 orang, termasuk 689 atlet serta barisan pegawai yang akan menggalas cabaran negeri dalam 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

 

Kesemua persatuan sukan di bawah naungan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) juga telah melakukan persiapan rapi dan kini bersedia menggalas misi merealisasikan sasaran pingat yang ditetapkan.

 

Sasaran kutipan pingat Kontinjen Johor akan diumumkan pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor ke SUKMA Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos ini.

 

Kontinjen Johor sebelum ini pernah mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama pada SUKMA XX MSN 2022 selepas meraih 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah melapor diri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor bagi penggal baharu di Pejabat MSNJ, Bangunan Dato’ Mohamad Ibrahim Munsyi, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#SUKMASelangor2026
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor