FORUM SDG PERKASA PEMBANGUNAN MAMPAN DI DAERAH JOHOR

Forum berkenaan menghimpunkan kira-kira 76 wakil daripada Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), agensi kerajaan, institusi akademik serta rakan strategik dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. | Foto APPGM-SDG
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan mampan di peringkat daerah menerusi pendekatan tadbir urus yang lebih tersusun, bersepadu dan berpaksikan keperluan setempat.
Komitmen berkenaan diterjemahkan menerusi penglibatan Pusat Kelestarian Johor (JSC) dalam Forum Tadbir Urus dan Intervensi Dasar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Zon Selatan.
Penyertaan ke dalam forum ini menjadi landasan untuk memastikan agenda kelestarian bukan sekadar digariskan pada peringkat dasar malah diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak kepada masyarakat.
Usaha ini selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030) dan agenda Maju Johor 2030 yang menekankan pembangunan negeri secara inklusif, berdaya tahan serta berteraskan kesejahteraan Bangsa Johor.
Forum yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh ini bagi memperkukuh kerjasama rentas agensi, berkongsi pandangan, mengenal pasti cabaran setempat serta meneroka intervensi dasar dan penyelesaian yang lebih berkesan berdasarkan realiti serta keperluan pembangunan setiap daerah.
Penganjurannya merupakan sebahagian daripada Inisiatif Intervensi Dasar Peringkat Daerah hasil kerjasama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan Yayasan Hasanah dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) serta Kementerian Ekonomi.
Terdahulu, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi JSC menyempurnakan perasmian Forum Tadbir Urus dan Intervensi Dasar SDG Zon Selatan di Impiana Hotel Senai, semalam.
#JohorSafeZone
#SDG
#JSC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



