IIB SUMBANG RM130,000 PERKASA PEMBANGUNAN ATLET JOHOR

YBrs. Encik Faiz Rahman, Ketua Bahagian Korporat Kumpulan IIB telah menyempurnakan penyerahan cek cura sumbangan pembangunan sukan daripada IIB kepada YBrs. Encik Muhammad Ali Abdul Karim, Penolong Pengarah, Seksyen Komunikasi Strategik Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ). | Foto Iskandar Investment Berhad
#IskandarPuteri – Iskandar Investment Berhad (IIB) terus memperkukuh sokongan kepada pembangunan bakat sukan Johor menerusi sumbangan RM130,000 kepada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) hasil penganjuran IIB20 Golf Invitational 2026 di Forest City Golf Resort pada 15 Ogos lalu.
IIB20 Golf Invitational 2026 menghimpunkan 80 peserta terdiri daripada rakan strategik dan korporat IIB sebagai sebahagian daripada siri program sepanjang tahun sempena ulang tahun ke-20 IIB bertemakan ’20 Years of Impact’ yang turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri.
Sumbangan berkenaan bakal menyokong latihan dan pembangunan lebih 1,000 atlet Johor dalam usaha meningkatkan prestasi, selain membantu pelaksanaan program serta penyediaan peralatan kepada persatuan sukan di negeri ini.
Inisiatif tersebut juga selari dengan aspirasi IIB untuk memastikan kemajuan dan pertumbuhan yang dicapai bukan sahaja diterjemahkan menerusi pembangunan serta pelaburan malah turut memberi manfaat nyata kepada masyarakat.
Selain itu, IIB telah menyumbang kira-kira RM3.5 juta menerusi zakat, penajaan dan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyokong program yang memberi manfaat kepada lebih 90,000 individu dan komuniti di seluruh Johor sejak tahun 2024.
Terdahulu, penyerahan cek cura sumbangan pembangunan sukan daripada IIB kepada MSNJ disempurnakan oleh YBrs. Encik Faiz Rahman, Ketua Bahagian Korporat Kumpulan IIB kepada YBrs. Encik Muhammad Ali Abdul Karim, Penolong Pengarah, Seksyen Komunikasi Strategik MSNJ yang disaksikan YB Tuan Haji Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor serta YBhg. Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB.
#JohorSafeZone
#IIB
#MSNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


