ENAM GOL DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL BAWA ROYAL JOHOR JUARA JSCPT 2026

Meskipun masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan pada bahagian tangan, ia ternyata tidak menjadi penghalang besar buat DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk tampil bertenaga sejak chukka pertama dan menjadi antara tonggak utama dalam merangka kejayaan Royal Johor menjulang kejuaraan JSCPT 2026. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IstanaPasirPelangi – DYAM Tunku Mahkota Ismail terus mencipta sensasi dalam dunia sukan polo apabila enam jaringan Baginda membantu Royal Johor menewaskan Temasek 10-7 dalam perlawanan akhir Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026 di Royal Johor Polo Club (RJPC), Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Meskipun masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan pada bahagian tangan, ia ternyata tidak menjadi penghalang besar buat DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk tampil bertenaga sejak chukka pertama dan menjadi antara tonggak utama dalam merangka kejayaan Royal Johor menjulang kejuaraan JSCPT 2026.
Selain itu, karisma dan momentum kecemerlangan yang ditunjukkan oleh Baginda sepanjang kejohanan berkenaan turut menyaksikan DYAM Tunku Mahkota Ismail dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Perlawanan Akhir, manakala kuda tunggangan Baginda iaitu Poliya Cara Palida juga turut sama menerima pengiktirafan ‘The Best Playing Pony’ yang diumumkan oleh Pablo ‘Polito’ Pieres.
Terdahulu dalam saingan akhir paling dinantikan oleh peminat sukan polo di seluruh dunia pada tahun ini, Royal Johor membuka tirai jaringan menerusi dua gol Pablo Pieres dalam dua chukka pertama sebelum DYAM Tunku Mahkota Ismail dan Juan Martin Nero masing-masing tampil menyumbang satu gol untuk memberikan kelebihan 4-0.
Tidak mahu mengalah, Temasek cuba mengubah strategi permainan dan berjaya membuka akaun menerusi Ignatius ‘Nachi’ du Plessis, sebelum Polito melengkapkan hatrik pada chukka ketiga, manakala satu lagi gol Temasek menjadikan kedudukan 5-2.
Memasuki chukka keempat dan kelima, DYAM Tunku Mahkota Ismail mempamerkan bakat dan kemahiran yang ada pada diri Baginda apabila meledak tiga gol untuk Royal Johor, sementara Nachi dan Colonel Ravi Rathore masing-masing mencipta satu jaringan bagi menghidupkan sedikit sisa perjuangan buat Temasek yang menyaksikan kedudukan 8-5.
Dua gol itu seolah-olah memberi nafas baharu kepada Temasek untuk terus memberikan tekanan kepada Royal Johor pada chukka keenam apabila Nachi merapatkan jurang kedudukan kepada 8-6.
Tidak panik dengan asakan Temasek, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang sememangnya terkenal dengan watak tenang dan penuh berstrategi terus memimpin Royal Johor mengatur permainan yang lebih kemas, sebelum menyumbang dua lagi gol kepada pasukan yang berpangkalan di Istana Pasir Pelangi, sekali gus menjadikan kedudukan 10-6.
Sedar dengan kesuntukan masa, Temasek cuba mencari ‘talian hayat’ untuk kembali mengejar Royal Johor dan akhirnya Alfonso ‘Alfon’ Pieres menghasilkan gol ketujuh Temasek untuk keputusan akhir 10-7, namun ia sama sekali tidak cukup untuk menghalang Royal Johor mengungguli saingan akhir berkenaan.
Kemenangan itu melengkapkan kempen gemilang Royal Johor dalam JSCPT 2026, sekali gus menobatkan pasukan tersebut sebagai juara kejohanan polo berhandikap 22 gol, antara yang tertinggi pernah dianjurkan di Malaysia ketika ini.
Penganjuran kejohanan JSCPT 2026 turut menghimpunkan barisan pemain bertaraf antarabangsa dan mengukuhkan Johor sebagai antara pentas utama sukan polo di rantau ini.
#JohorSuperCrown2026
#PoloTournament2026
#RoyalJohorPoloClub
#LegacyInMotion
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


