BOMBA GIAT PADAM DUA INSIDEN KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI PENGERANG

Ia membabitkan kebakaran kawasan seluas 6.8 hektar atau 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 17 hektar di Kampung Sungai Buntu berjaya dipadamkan oleh seramai 18 anggota JBPM Negeri Johor dengan kekuatan dua jentera pemadam dan dua kenderaan utiliti. | Foto JBPM Negeri Johor
#IskandarPuteri – Operasi pemadaman dan pemantauan sedang giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor bagi menangani dua kes kebakaran tanah gambut di Pengerang, sekali gus memastikan keselamatan penduduk di kawasan berhampiran.
Ia membabitkan kebakaran kawasan seluas 6.8 hektar atau 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 17 hektar di Kampung Sungai Buntu berjaya dipadamkan oleh seramai 18 anggota JBPM Negeri Johor dengan kekuatan dua jentera pemadam dan dua kenderaan utiliti.
Sementara itu, kebakaran yang berlaku di bahagian belakang kawasan Perkuburan Cina, Bukit Pelali pula melibatkan kawasan seluas 10.1175 hektar dengan 6.0705 hektar daripadanya berjaya dipadamkan, manakala usaha pemadaman bagi baki kira-kira 4.047 hektar lagi sedang giat dijalankan.
Seramai 10 anggota JBPM bersama sebuah jentera pemadam, sebuah jentera tangki air dan sebuah kenderaan utiliti digerakkan bagi operasi pemadaman di kawasan berkenaan.
Bagi Kampung Sungai Buntu, operasi pemadaman kini memberi tumpuan di bahagian sektor A dan B, selain inisiatif pembinaan pemisah api bagi mengawal kemerebakan api daripada terus berlaku.
Operasi pemadaman berkenaan turut dilaksanakan secara berterusan selama 24 jam dengan pemantauan Unit Dron bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dan tidak berulang.
Cuaca panas, kering dan angin kencang menjadi antara cabaran operasi JBPM di kawasan berkenaan, selain berhadapan laluan sempit, struktur tanah lembut serta sumber air terbuka yang terhad.
Bagi kebakaran di Bukit Pelali pula, operasi pemadaman memberi tumpuan kepada kawasan di sepanjang bahu jalan berikutan asap tebal yang melitupi laluan dan boleh membahayakan pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, YBhg Tuan Haji Miswan Yunus, Pegawai Daerah Kota Tinggi, menasihatkan penduduk supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka yang boleh mendatangkan bahaya serta menjejaskan kesihatan penduduk di kawasan sekitar.
#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#KebakaranTanahGambut
#FenomenaElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



