JOHOR PERKASA PEMBANGUNAN BAKAT, SELARI KEPERLUAN INDUSTRI

YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Johor dalam lawatan penanda aras ke Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) bagi meneliti pendekatan pembangunan bakat dan kemahiran yang dilaksanakan selaras dengan keperluan industri. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Johor terus memperkasa pembangunan bakat dan kemahiran bagi memastikan lebih ramai anak negeri memiliki keupayaan yang selari dengan keperluan industri serta bersedia untuk merebut setiap peluang pekerjaan berkualiti yang bakal berkembang menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Usaha tersebut antara perkara yang diberi perhatian menerusi lawatan penanda aras delegasi Kerajaan Negeri Johor ke Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) bagi meneliti pendekatan pembangunan bakat dan kemahiran yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada keperluan serta kehendak industri semasa.
PSDC yang mempunyai 285 syarikat ahli mengamalkan model tadbir urus berasaskan majlis pengurusan dengan penglibatan aktif pelbagai sektor industri, selain ia juga turut menyelaraskan data permintaan industri, penawaran kursus serta keperluan tenaga kerja secara berterusan bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Antara pendekatan yang diberi perhatian ialah penggunaan sistem kecerdasan buatan (AI) dari Singapura bagi menilai tahap kesediaan sesebuah organisasi dalam mengadaptasi teknologi AI, selain mengenal pasti kelemahan dan ruang penambahbaikan untuk membantu organisasi merancang langkah transformasi yang bersesuaian.
Perkongsian tersebut memberikan input berguna kepada Johor dalam memperkukuh inisiatif Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC), khususnya bagi memastikan pembangunan bakat negeri terus bergerak seiring dengan perkembangan industri, pendigitalan dan pelaksanaan JS-SEZ.
Pendekatan yang menghubungkan pembangunan kemahiran dengan keperluan sebenar industri ini disifatkan sangat penting bagi memastikan latihan yang disediakan dapat melahirkan tenaga kerja berkemahiran serta memenuhi permintaan sektor yang semakin berkembang.
Justeru, Kerajaan Negeri akan terus meneliti amalan terbaik yang bersesuaian untuk disesuaikan dengan keperluan Johor, termasuk dalam aspek pembangunan bakat, kemahiran masa hadapan, pemindahan teknologi serta kerjasama dengan pihak industri.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Johor dalam lawatan penanda aras ke Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) bagi meneliti pendekatan pembangunan bakat dan kemahiran yang dilaksanakan selaras dengan keperluan industri.
#JohorSafeZone
#JTDC
#PendidikanJohor2030
#PembangunanBakat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


