MONSUN TIMUR LAUT DIRAMAL BERMULA 27 OKTOBER

Kenyataan media Jabatan Meteorologi Malaysia
#IskandarPuteri – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan sepanjang fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 iaitu dari November 2026 hingga Januari 2027.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MET Malaysia memaklumkan bahawa MTL dijangka bermula pada 27 Oktober 2026 dan berterusan sehingga Mac 2027, dengan angin lazimnya bertiup secara konsisten dari arah timur laut.
Episod hujan lebat berterusan ini berpotensi mengakibatkan banjir khususnya di kawasan berhampiran sungai dan kawasan rendah.
Selain itu, tiupan angin timur laut yang kencang dan berterusan boleh menyebabkan laut bergelora serta meningkatkan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
Menjelang fasa akhir MTL iaitu dari Januari hingga Mac 2027, taburan hujan dijangka berkurangan terutamanya di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Keadaan ini dijangka menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi mencetuskan gelombang haba yang lebih ekstrem susulan pengaruh fenomena El Niño sangat kuat (Super) yang sedang berlaku.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca sepanjang MTL 2026/2027 serta sentiasa peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia menerusi laman web rasmi www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca serta saluran media sosial rasmi agensi.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan cuaca semasa.
#JohorSafeZone
#MonsunTimurLaut
#METMalaysia
#Banjir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


