930 GRADUAN KPYPJ DIRAIKAN, JOHOR TERUS PERKUKUH PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN BAKAT

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ menyempurnakan Majlis Konvokesyen KPYPJ Kali Ke-27 di Dewan Besar KUYPJ. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#KotaTinggi – Seramai 930 graduan Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) diraikan pada Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan YPJ Ke-27, sekali gus menjadi graduan sulung daripada Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor (KUYPJ) selepas institusi itu dinaik taraf kepada kolej universiti tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 611 graduan merupakan graduan KUYPJ, 269 graduan daripada Kolej Kemahiran Johor (KKJ) manakala 50 penerima Sijil Eksekutif Lanjutan Sumber Manusia (HR Champion) daripada Akademi JCS.
Lebih signifikan, kejayaan ini juga datang daripada sokongan berterusan Kerajaan Johor menerusi peruntukan sekitar RM16 juta kepada institusi di bawah Kumpulan Pendidikan YPJ bagi menyokong pelbagai usaha pembangunan pendidikan dan modal insan.
Antaranya ialah penambahbaikan Sekolah Hospitaliti dan Pelancongan KUYPJ, Biasiswa Bangsa Johor, pembangunan dan persediaan Kompleks JSkills Kota Tinggi selain infrastruktur, sistem dan perkakasan ICT serta kemudahan pembelajaran di KUYPJ dan KKJ.
Selain itu, pertukaran status KYPJ kepada KUYPJ pada tahun lalu telah membuka ruang lebih besar kepada institusi itu untuk memperluas penawaran pendidikan tinggi, termasuk pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mula ditawarkan pada tahun ini.
Ia turut disokong peningkatan ketara jumlah pelajar baharu KUYPJ apabila mencatatkan kemasukan 1,038 pelajar pada tahun 2026, berbanding sekitar 500 pelajar pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan minat ibu bapa dan pelajar terhadap institusi pendidikan milik Johor.
Sementara itu, Konvokesyen KPYPJ Kali Ke-27 ini turut menjadi platform mengiktiraf pencapaian akademik, kemahiran dan sumbangan graduan menerusi pelbagai anugerah seperti Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor, selain penyampaian Biasiswa Bangsa Johor kepada 40 pelajar sebagai sokongan kepada kelangsungan pengajian anak-anak Johor di KUYPJ.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor selaku wakil rasmi YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ menyempurnakan Majlis Konvokesyen KPYPJ Kali Ke-27 di Dewan Besar KUYPJ, hari ini.
#JohorSafeZone
#KonvokesyenKPYPJKe27
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


