JOHOR BERSIH 2030: PENCAPAIAN YONG PENG CETUS SEMANGAT BUDAYAKAN KEBERSIHAN

YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengumumkan kejayaan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) mengekalkan penarafan lima bintang dan melonjak ke tangga keenam daripada 92 majlis daerah seluruh negara, berbanding kedudukan ke-30 pada 2024, sempena Program Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 @ Yong Peng pada Sabtu lalu. | Foto FB AH SOON
#YongPeng – Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) terus mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya mengekalkan penarafan lima bintang dan melonjak ke kedudukannya keenam daripada 92 majlis daerah di seluruh negara, berbanding pencapaian sebelum ini iaitu di kedudukan ke-30 pada 2024.
Pencapaian itu diumumkan sempena Program Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 @ Yong Peng yang dirasmikan oleh YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor di Dataran Gemilang, Yong Peng, pada Sabtu lalu.
Inisiatif Bandar Bersih Johor 2030 merupakan sebahagian daripada aspirasi menjadikan Johor lebih bersih, teratur dan lestari melalui kerjasama bersepadu antara SWCorp, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat.
Usaha itu turut menekankan kepentingan mengubah sikap serta meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran, termasuk mengelakkan pembuangan sampah merata-rata dan pembakaran secara terbuka yang boleh menjejaskan alam sekitar serta kesihatan awam.
Dalam aspek penguatkuasaan, sebanyak 3,469 notis kesalahan berkaitan kebersihan telah dikeluarkan di seluruh Johor setakat 22 Oktober 2026 bagi memastikan peraturan dipatuhi dan kebersihan persekitaran awam terus terpelihara.
Selain itu, masyarakat turut digalakkan meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, sekali gus membantu mencegah penularan penyakit denggi.
Pelaksanaan Bandar Bersih Johor 2030 memerlukan komitmen berterusan semua pihak, bukan sahaja melalui penguatkuasaan, malah menerusi amalan harian yang mengutamakan kebersihan, pengurusan sisa secara bertanggungjawab dan penjagaan alam sekitar.
Kerajaan Negeri Johor terus komited memperkukuh agenda kebersihan dan kelestarian alam sekitar menerusi kerjasama strategik bersama PBT serta agensi berkaitan bagi memastikan persekitaran yang bersih, selamat dan kondusif untuk didiami, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memelihara kesejahteraan alam sekitar untuk generasi akan datang.
#JohorSafeZone
#BandarBersihJohor2030
#YongPeng
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


