PENYERTAAN RAKYAT PERKUKUH HALA TUJU KAJIAN RANCANGAN STRUKTUR NEGERI JOHOR 2040

YB Tuan Zaidi Japar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merasmikan Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Bagi Kajian Rancangan Struktur Negeri Johor 2040 (Kajian Semula) Peringkat Laporan Tinjauan. | Foto MDJ Nazreen Aimie
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh perancangan pembangunan negeri dengan melibatkan penyertaan awam dan pemegang taruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian negeri dipacu secara seimbang menerusi Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri (RSN) Johor 2040.
Usaha yang dilaksanakan menerusi anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor (PLANMalaysia Johor) dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) itu menjadi platform untuk memberi penerangan, mendapatkan pandangan serta mengumpul maklum balas berhubung hala tuju pembangunan Negeri Johor sehingga tahun 2040.
Laporan Tinjauan ini akan menjadi antara komponen utama kajian semula RSN Johor 2040 yang menilai kedudukan pembangunan semasa, mengenal pasti cabaran dan potensi strategik serta meneroka potensi pertumbuhan sebagai asas pembentukan dasar dan strategi perancangan negeri pada peringkat seterusnya.
Selain itu, terdapat enam teras yang akan mendukung aspirasi Johor Global 2040 merangkumi Bangsa Johor, Kedudukan Johor, Ekonomi Johor, Sejahtera Johor, Lestari Johor dan Tadbir Urus Johor, selain ia juga akan turut mengambil kira aspirasi Maju Johor 2030 dan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP).
Perkembangan strategik Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pengukuhan sektor perindustrian dan logistik, pembangunan infrastruktur digital serta kecerdasan buatan (AI) dan perubahan corak pelaburan turut memberikan dimensi baharu kepada landskap pembangunan Johor yang perlu diteliti secara menyeluruh.
Sementara itu, orang ramai juga boleh menyemak Draf Laporan Tinjauan RSN Johor 2040 (Kajian Semula) menerusi laman sesawang rasmi PLANMalaysia Johor atau secara fizikal di Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ), PLANMalaysia Johor serta kesemua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Johor sepanjang tempoh publisiti bermula dari hari ini hingga 26 November 2026.
Terdahulu, YB Tuan Zaidi Japar, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merasmikan Majlis Perasmian Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Bagi Kajian Rancangan Struktur Negeri Johor 2040 (Kajian Semula) Peringkat Laporan Tinjauan di Fraser Place Puteri Harbour, Iskandar Puteri, hari ini.
#JohorSafeZone
#JohorGlobal2040
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


