DAYONE SUMBANG RM3 JUTA PERKASA PENDIDIKAN ANAK JOHOR

DayOne komited untuk menunaikan setiap komitmen yang dibuat kepada Kerajaan Negeri, rakyat Johor dan rakan strategik yang lain dengan memastikan kehadirannya di Johor bukan sekadar membawa nilai pelaburan, malah turut memberi nilai kepada aspek pendidikan, bakat tempatan, perniagaan dan pembangunan komuniti. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – DayOne Data Centers Limited (DayOne) terus menzahirkan sokongan terhadap aspek pembangunan pendidikan di Johor menerusi sumbangan RM3 juta kepada Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan syarikat itu sebanyak RM6 juta.
Sumbangan dana tersebut akan menyokong pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), termasuk penyediaan makmal komputer, makmal sains dan bahan bantu mengajar bagi memperkukuh pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berteraskan digital serta pada masa sama mempersiapkan generasi muda menghadapi peluang ekonomi masa depan.
Komitmen itu turut disertai ikrar syarikat berkenaan untuk menyumbang RM3 juta setiap tahun bagi menyokong inisiatif berkenaan serta memperkasa anak muda Johor dengan kemahiran dan peluang dalam ekonomi digital dan kecerdasan buatan, jelas YBhg Puan Jamie Khoo, Ketua Pegawai Eksekutif DayOne.
Sokongan DayOne turut diperluas kepada perniagaan tempatan apabila 85 peratus kontrak yang dianugerahkan di Malaysia pada 2025 diberikan kepada pembekal tempatan, selain RM1 bilion diperuntukkan bagi membangunkan ekosistem rantaian bekalan tempatan yang lebih berdaya tahan.
Dalam aspek kelestarian, DayOne memperluas kapasiti sistem rawatan air sungai bagi penyejukan pusat data daripada 10 juta kepada 20 juta liter sehari, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber air luaran bagi operasi penyejukan pusat data milik syarikat berkenaan.
DayOne turut meneroka potensi untuk menukar lebihan air industri yang telah dirawat kepada air yang boleh diminum bagi memberi manfaat kepada penduduk di Johor, selaras dengan pendekatan syarikat untuk mengembangkan operasi secara lebih mampan.
Pendekatan tersebut mencerminkan prinsip DayOne bahawa pertumbuhan perniagaan perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan komuniti, termasuk memastikan pembangunan ekonomi digital turut membuka ruang kepada rakyat dan perniagaan tempatan untuk berkembang secara bersama.
DayOne juga komited untuk menunaikan setiap komitmen yang dibuat kepada Kerajaan Negeri, rakyat Johor dan rakan strategik yang lain dengan memastikan kehadirannya di Johor bukan sekadar membawa nilai pelaburan, malah turut memberi nilai kepada aspek pendidikan, bakat tempatan, perniagaan dan pembangunan komuniti.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#DayOne
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


