KERAJAAN JOHOR SASAR 49,365 RUMAH MAMPU MILIK SIAP MENJELANG 2030

Komitmen berkenaan turut diperkukuh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Reka Bentuk dan Penilaian (PDRC) Bil. 5/2026 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat dengan menyasarkan sebanyak 49,365 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) disiapkan menjelang tahun 2030.
Sasaran tersebut mencerminkan usaha berterusan dalam memperluas peluang pemilikan kediaman kepada Bangsa Johor menerusi penyelarasan pembangunan yang lebih terancang bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan dan dimanfaatkan rakyat.
Komitmen berkenaan turut diperkukuh menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Reka Bentuk dan Penilaian (PDRC) Bil. 5/2026 yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.
Mesyuarat tersebut meneliti penyelarasan melibatkan lapan pemaju dan lapan projek di bawah sembilan pihak berkuasa tempatan (PBT), merangkumi 2,839 unit RMMJ serta 205 unit Kedai Kos Sederhana (KKS), menjadikan keseluruhan 3,044 unit.
Antara lokasi pembangunan yang terlibat adalah Mukim Plentong di bawah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Taman Bukit Indah (Majlis Perbandaran Batu Pahat), Jementah (Majlis Perbandaran Segamat), Mukim Tangkak (Majlis Daerah Tangkak), Taman Pasir Putih (Majlis Bandaraya Pasir Gudang), Bandar Universiti Pagoh (Majlis Perbandaran Muar), Bandar Genting Indahpura (Majlis Perbandaran Kulai) serta Bandar Pura Kencana (Majlis Perbandaran Batu Pahat).
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek, Kerajaan Negeri melalui PDRC memberi penekanan terhadap penyelarasan pelan dan jadual pembangunan, tanggungjawab penyiapan projek serta cadangan penggantian komponen KKS kepada RMMJ.
Pada masa sama, PDRC juga meneliti pematuhan syarat dan komitmen pemaju termasuk garis masa pembinaan, pengemukaan pelan serta tindakan punitif terhadap pihak yang gagal memenuhi ketetapan pelaksanaan bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.
Usaha berterusan ini selaras dengan agenda Maju Johor 2030 yang diterajui YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam memastikan pembangunan perumahan mampu milik dilaksanakan secara cekap, terancang dan memberi manfaat kepada rakyat.
#JohorSafeZone
#RMMJ
#PerumahanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


