PROJEK NAIK TARAF LEBUHRAYA PASIR GUDANG FASA 2B CAPAI 98 PERATUS

Projek bernilai RM79.61 juta yang melibatkan pelebaran jalan daripada empat kepada enam lorong ini bermula dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Pasir Gudang bagi meningkatkan kapasiti jalan raya serta melancarkan aliran trafik. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Projek Menaik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) Fasa 2B kini mencapai 98 peratus kemajuan fizikal dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 24 November ini, sekali gus dijangka memberi kelegaan kepada warga Pasir Gudang yang telah lama berdepan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.
Projek bernilai RM79.61 juta yang melibatkan pelebaran jalan daripada empat kepada enam lorong ini bermula dari Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting ke Pasir Gudang bagi meningkatkan kapasiti jalan raya serta melancarkan aliran trafik.
Berdasarkan taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR), tumpuan kini diberikan kepada penyempurnaan baki kerja meliputi turapan jalan, pemasangan lampu LED, papan tanda, penghadang keselamatan dan sistem perparitan, selain proses pengujian serta pentauliahan sebelum projek disiapkan sepenuhnya.
Penyiapan projek ini amat dinantikan penduduk setempat, khususnya mereka yang menggunakan laluan berkenaan setiap hari untuk berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah serta menjalankan urusan harian.
Usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang selama ini memanjangkan tempoh perjalanan pengguna, sekali gus membolehkan mereka menikmati perjalanan yang lebih lancar serta mempunyai lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga.
Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya, JKR serta semua agensi dan pihak terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan projek yang telah lama dinantikan warga Pasir Gudang.
Kerjasama Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan dalam pelaksanaan projek ini diharap dapat memastikan penyiapannya mengikut jadual, seterusnya menyediakan perjalanan yang lebih lancar, selamat dan selesa demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan tinjauan bagi meneliti perkembangan dan kemajuan pelaksanaan Projek Menaik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) Fasa 2B, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


