JOHOR BENTANG BELANJAWAN SURPLUS RM2.33 JUTA, HASIL DIJANGKA LEPASI RM3 BILION

Bagi tahun 2027, Kerajaan Negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM3.076 bilion berbanding jumlah perbelanjaan RM3.075 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan belanjawan sebanyak RM2.328 juta. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Hasil Johor dijangka melepasi RM3 bilion buat kali pertama dalam sejarah negeri ini pada penghujung tahun, selepas kutipan setakat pagi pembentangan Belanjawan Johor 2027 hari ini mencecah RM2.8 bilion.
Kutipan tersebut bersamaan 110 peratus daripada anggaran asal hasil negeri bagi tahun ini, dengan peningkatan hasil berkenaan akan dimanfaatkan untuk membantu lebih ramai rakyat Johor yang memerlukan, khususnya golongan miskin, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Perkara itu dinyatakan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Bagi tahun 2027, Kerajaan Negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM3.076 bilion berbanding jumlah perbelanjaan RM3.075 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan belanjawan sebanyak RM2.328 juta.
Hampir separuh daripada keseluruhan perbelanjaan 2027, iaitu RM1.53 bilion atau 49.77 peratus, diperuntukkan bagi pembangunan, meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM600 juta atau 34.6 peratus pada tahun 2023.
Peningkatan peruntukan pembangunan itu akan membolehkan Kerajaan Negeri terus memperkukuh infrastruktur serta memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada seluruh Bangsa Johor.
Belanjawan Johor 2027 bertemakan *Johor Maju, Rakyat Sejahtera* menggariskan 284 tekad yang akan dilaksanakan berlandaskan Enam Teras Maju Johor bagi meneruskan momentum pembangunan negeri serta memastikan Johor terus kekal makmur, berdaya saing dan sejahtera.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



