JOHOR TUMPU REALISASI PELABURAN, PERKUKUH INDUSTRI DAN CIPTA PEKERJAAN BERKUALITI

Kerajaan Johor memberi tumpuan kepada merealisasikan pelaburan diluluskan berjumlah RM99.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026 melalui pelaksanaan projek, pengukuhan industri dan pewujudan peluang pekerjaan berkualiti demi manfaat ekonomi serta rakyat negeri ini.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor kini memberi tumpuan untuk memastikan setiap pelaburan yang telah diluluskan dapat direalisasikan menerusi pelaksanaan projek, pengukuhan ekosistem industri serta penciptaan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat.
Pencapaian pelaburan diluluskan sebanyak RM99.7 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026 perlu dilihat dari sudut impak yang dapat diterjemahkan kepada pembangunan ekonomi negeri serta manfaat kepada rakyat, jelas YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor.
Tumpuan seterusnya adalah memastikan setiap komitmen pelaburan diterjemahkan kepada pembinaan kilang, pembukaan operasi perniagaan, pemindahan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta penciptaan pekerjaan berkualiti.
Justeru, penyelarasan antara agensi akan terus diperkukuh bagi mempercepat proses pemudahcaraan pelaburan, menyelesaikan cabaran pelaksanaan projek serta memastikan keperluan infrastruktur, utiliti dan tenaga kerja dapat dipenuhi.
Kerajaan Johor juga komited membangunkan ekosistem industri yang pelbagai, meliputi pusat data dan ekonomi digital, aeroangkasa, peranti perubatan, petrokimia dan kimia khusus, semikonduktor termasuk peralatan serta bahan termaju, elektrik dan elektronik (E&E), logistik serta tenaga boleh diperbaharui.
Kepelbagaian sektor tersebut membentuk rantaian bekalan yang lebih kukuh dan saling melengkapi, selain membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk berkembang bersama industri global serta meningkatkan penyertaan dalam sektor bernilai tinggi.
Keutamaan tersebut turut berkait rapat dengan usaha memastikan Anak Johor memperoleh peluang pekerjaan berkualiti, membina kerjaya profesional serta menikmati manfaat daripada perkembangan industri di negeri sendiri.
Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan bagi memastikan momentum pelaburan diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang memberikan manfaat lebih luas kepada Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


